Header Ads

test

KRISIS PENANAMAN PADI SEMAKIN MEMBIMBANGKAN

 

“KOS OPERASI JEJAS KEMAMPUAN PESAWAH, KERAJAAN DIGESA BERTINDAK”
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Sekitar 90 peratus pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dilaporkan gagal memulakan penanaman padi mengikut jadual, sekali gus memberi isyarat sektor padi negara sedang berdepan krisis serius dan memerlukan campur tangan segera kerajaan.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato' Ustaz Ahmad Yahaya berkata, keadaan itu berpunca daripada peningkatan mendadak kos operasi sehingga menjejaskan kemampuan pesawah untuk meneruskan aktiviti penanaman.
Menurut beliau, jadual penanaman bagi fasa pertama yang sepatutnya bermula pada 15 April, diikuti fasa kedua pada 29 April dan fasa ketiga pada 13 Mei lalu gagal dipatuhi sebahagian besar pesawah kerana beban kos yang semakin meningkat.
"Kos sewaan traktor meningkat sehingga 66 peratus, kos menuai naik sekitar 38 peratus manakala keseluruhan kos operasi meningkat sehingga 50 peratus.
"Pesawah bukan golongan kayangan, mereka rakyat biasa. Siapa yang sanggup melakukan pekerjaan yang akhirnya menyebabkan mereka kerugian? Nasib mereka tidak boleh terus dibiarkan terkontang-kanting," katanya.
Tambah beliau, kebajikan pesawah perlu diberi perhatian serius kerana mereka merupakan benteng utama keselamatan makanan negara.
Katanya, sekumpulan pesawah turut berhimpun di Langgar, Pokok Sena pada Mei lalu bagi meluahkan kebimbangan terhadap beban kos yang semakin menekan sehingga mengancam kelangsungan penanaman padi.
“Jika Pak Tani tidak lagi boleh menanam padi kerana himpitan kos dan isu yang mereka terpaksa hadapi saban hari. Bagaimana kalau keadaan itu berterusan sehingga seminggu, malah sebulan? Kita perlu melihat ia sebagai satu perkara mustahak untuk ditangani sebaiknya,” katanya.
Isu berkenaan dibangkitkan Ahmad ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat.
Menurut beliau, kedaulatan makanan negara mesti menjadi keutamaan memandangkan padi dan beras merupakan makanan ruji rakyat Malaysia.
Menurutnya, ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim seharusnya menjadi pemangkin kepada kerajaan untuk memperkukuh sektor padi, bukannya memandang ringan isu berkenaan.
Ahmad turut mencadangkan agar kerajaan mengkaji liberalisasi varieti benih padi bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pesawah untuk mendapatkan benih lebih berkualiti.
“Penggunaan benih berkualiti rendah bukan sahaja menjejaskan hasil tuaian, malah meningkatkan kebergantungan terhadap baja, sekali gus menambah kos pengeluaran ketika harga input pertanian terus meningkat.
“Membela nasib mereka bermakna menjaga kepentingan seluruh rakyat Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan menjelaskan secara telus isu pencampuran beras putih import dengan beras putih tempatan, termasuk mendedahkan jumlah pengilang terlibat serta asas kebenaran yang diberikan.
"Saya mahu kementerian jelaskan berapa peratus pengilang yang menjalankan kegiatan pencampuran beras selama ini, nyatakan nama kilang terbabit dan sama ada mereka diberikan kebenaran khas berbuat demikian," katanya.
Tambah beliau, kementerian juga perlu menjelaskan sama ada pindaan RUU tersebut membolehkan tindakan tegas diambil terhadap 93 pengilang serta 130 pemborong dan peruncit yang terlibat dalam kegiatan mencampurkan beras putih tempatan dengan beras putih import.
“Pindaan kepada Seksyen 29 di bawah fasal 4 RUU berkenaan menyebut mengenai menetapkan gred beras dan kawalan harga padi beras bagi beras bergred.
“Adakah kementerian akan mewujudkan gred beras baharu serta membuka ruang kepada kerajaan menyemak semula harga lantai dan harga jualan padi,” soal beliau.

Tiada ulasan