Header Ads

test

KEDAH LUPUS 90 PERATUS TUNGGAKAN CUKAI TANAH DUA SEKOLAH CINA PERSENDIRIAN

“BUKTI TIDAK BERSIKAP RASIS”
Oleh: Roslinda Hashim
SEREMBAN - Kerajaan Negeri meluluskan penghapusan sebanyak 90 peratus tunggakan cukai tanah melibatkan dua Sekolah Cina Persendirian di Kedah berjumlah RM444,000.
Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Exco pada Rabu selepas mengambil kira kedudukan kewangan sekolah terbabit yang bukan berasaskan keuntungan selain memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi berpendidikan.
Menurutnya, keputusan itu jelas membuktikan Kerajaan Negeri Kedah tidak bersikap rasis seperti didakwa sesetengah pihak.
"Oleh kerana cukai terlalu tinggi, mereka tak mampu bayar, dalam mesyuarat Exco, saya pertimbang kalau tidak bayar langsung pun tidak patut sangat. Jadi daripada RM444,000 tunggakan itu, kita hapuskan 90 peratus dan mereka hanya perlu bayar RM44,000," katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Birukan Seremban di sini, pada Rabu.
Beliau berkata, sekolah yang mempunyai tunggakan cukai tanah tersebut ialah SM Keat Hwa Alor Setar dan SM Sin Min di Sungai Petani.
Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata, Kerajaan Negeri turut menyalurkan bantuan tahunan RM300,000 kepada SJKC dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil
(SJKT) bagi membantu operasi mereka.
"Sekolah ini bukan berasaskan keuntungan. Mereka menyumbang kepada pembentukan anak-anak bangsa kita di negeri kita supaya menjadi insan berilmu, namun mereka mengharapkan sumbangan masyarakat dan golongan peniaga," katanya.
Sanusi tegaskan, Kerajaan Negeri turut membantu pelbagai institusi pendidikan lain termasuk sekolah pondok dan agama mengikut kemampuan kewangan negeri.
"Sekolah pondok yang tak mampu kita tolong, sekolah agama kita tolong, sekolah Cina pun kita tolong. Jadi dekat mana kata kita rasis? Itu tidak betul.
"Banyak perkara baik yang kita buat, cuma kita tidak hebahkannya. Kita buat senyap-senyap. Tetapi saya perlu jelaskan perkara ini kerana ada pihak mendakwa saya rasis," katanya.
Beliau berkata, keharmonian masyarakat berbilang kaum di Kedah membuktikan pentadbiran Kerajaan Negeri sentiasa mengamalkan sikap adil tanpa mengira kaum dan agama.
"Di Kedah semuanya berjalan dengan baik, aman dan harmoni. Orang Melayu, Cina, India dan Siam hidup bersama. Semua perayaan diraikan tanpa gangguan. Itulah gaya pemerintahan Perikatan Nasional yang kita persembahkan sepanjang enam tahun ini," katanya.
Beliau turut memaklumkan, pentadbiran negeri turut mencatatkan prestasi ekonomi memberangsangkan apabila Kedah merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM183.7 bilion sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, selain mencatat lebihan belanjawan selama empat tahun berturut-turut.

Tiada ulasan