KEDAH MAJU BERTERASKAN AL-QURAN, BUKAN PEMBANGUNAN FIZIKAL SEMATA-MATA
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Pembangunan fizikal semata-mata tidak mampu menjamin kemajuan sebenar sesebuah negeri sekiranya tidak disertai dengan pembangunan jiwa yang berteraskan al-Quran.
Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md. Nor. berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menjadikan pembangunan insan sebagai asas kepada setiap agenda pembangunan agar Kedah bukan sahaja muncul sebagai negeri yang makmur dari segi ekonomi, malah diberkati ALLAH SWT.
"Sesebuah negeri tidak akan benar-benar maju jika pembangunan fizikalnya mendahului pembangunan jiwa.
"Bangunan boleh berdiri megah, ekonomi boleh berkembang pesat, tetapi jika manusia kehilangan pedoman, kemajuan itu tidak akan membawa kebahagiaan yang sebenar," katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup Festival Al-Quran 3.0 Peringkat Negeri Kedah di sini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuhkan ekonomi, menarik pelaburan, memajukan sektor pertanian serta menambah baik infrastruktur, namun pembangunan rohani tidak boleh diketepikan.
Katanya, Kedah bukan sahaja mahu dikenali sebagai Jelapang Padi negara, sebaliknya turut berhasrat muncul sebagai negeri yang membudayakan al-Quran dalam kehidupan rakyat.
"Matlamat kita ialah membina sebuah negeri yang kuat ekonominya, cekap pentadbirannya, tinggi ilmunya dan teguh pegangan agamanya. Mudah-mudahan inilah legasi yang dapat kita tinggalkan kepada generasi akan datang," katanya.
Menurut Sanusi, cabaran terbesar umat Islam pada masa ini bukannya kekurangan teknologi atau kemajuan material, sebaliknya untuk melahirkan generasi yang benar-benar hidup berpandukan al-Quran.
Justeru, katanya, usaha melahirkan lebih ramai qari, qariah, hafiz, hafizah, ilmuwan, pendidik dan pemimpin yang menjadikan al-Quran sebagai asas pemikiran serta tindakan perlu diperkasakan.
“Tanggungjawab membina generasi al-Quran bukan terletak di bahu guru agama semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan ibu bapa, sekolah, masjid, masyarakat dan kerajaan.
"Festival Al-Quran bukan sekadar program tahunan, ia merupakan gerakan dakwah dan tarbiah untuk menghidupkan semula hubungan masyarakat dengan al-Quran khususnya generasi muda. Pembudayaan al-Quran hendaklah menjadi amalan berterusan," katanya.
Dalam pada itu, Sanusi memaklumkan program bacaan al-Quran satu muka surat setiap hari yang dilaksanakan di Wisma Darul Aman sejak November 2024 berjaya mengkhatamkan al-Quran pada 30 Jun lalu.
Beliau berharap kejayaan itu menjadi contoh kepada semua jabatan kerajaan, syarikat, institusi pendidikan dan organisasi lain di negeri ini, selain mengajak rakyat Kedah membudayakan bacaan al-Quran di setiap rumah.
“Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah bersama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah sedang menggerakkan usaha supaya setiap masjid dan sekolah menengah di negeri ini mengadakan bacaan sekurang-kurangnya satu muka surat al-Quran setiap hari. Sebahagian masjid telah memulakan amalan ini dan mudah-mudahan akan terus berkembang ke seluruh negeri,” katanya.
Mengibaratkan kehidupan seperti sebatang pokok, Sanusi berkata, kekuatan akar dan perdu menjadi penentu kepada suburnya daun, ranting, bunga serta buahnya.
“Kalau perdu tak elok, dahan patah, semua akan hancur. Jadi
marilah kita kukuhkan perdu kita dengan Quran, hadis, akidah yang kukuh, supaya perdu kita kukuh.
“Saya bandingkan perkara ini kerana zaman kini dan akan datang, orang hanya akan tengok luaran, orang tak tengok perdu. Kita perlu kukuhkan perdu atau asas. Bunga, buah, dahan, daun itu bergantung kepada perdu.
"Jangan terpesona dengan daun yang cantik atau bunga yang harum kerana semuanya boleh bersifat sementara atau palsu,” katanya.
Oleh itu, tegas beliau, umat Islam perlu kukuhkan asas dengan al-Quran, hadis dan sumber hukum Islam lain kerana daripada asas yang kukuh itulah akan lahir masyarakat yang kuat dan berjaya.
Post a Comment