Header Ads

test

KEDAH PERKASA EKOSISTEM E-SUKAN, LAHIRKAN BAKAT BELIA BERDAYA SAING

 

Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah terus memperkukuh pembangunan belia menerusi pemerkasaan ekosistem e-sukan sebagai platform melahirkan bakat baharu, memperluas peluang kerjaya dalam ekonomi digital serta mengangkat negeri ini sebagai antara hab pembangunan sukan elektronik di Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup, Belia Dan Sukan, Muhammad Radhi Mat Din berkata, Kedah Esport Challenge 3.0 yang memasuki edisi ketiga tahun ini berjaya menghimpunkan kira-kira 1,300 peserta dari seluruh negara, sekali gus mencerminkan sambutan yang semakin memberangsangkan terhadap pembangunan industri e-sukan di negeri Kedah.
Jelasnya, nilai hadiah keseluruhan turut ditingkatkan kepada RM25,000 berbanding RM6,000 dan RM10,000 pada edisi terdahulu bagi menjadikan kejohanan lebih kompetitif.
"Kejohanan itu mempertandingkan Kategori Terbuka Malaysia dan Kategori Bawah 18 Tahun Negeri Kedah dengan penyertaan peserta berusia antara lapan hingga 45 tahun dari pelbagai negeri. Ia juga menjadi pentas persiapan atlet e-sukan Kedah dan negeri-negeri lain menjelang temasya SUKMA," ujarnya dalam Program Kedah Esport Challenge 3.0 dan Mini Karnival Belia di Seri Mentaloon, di sini.
Muhammad Radhi berkata, penganjuran kali ini turut diserikan dengan Mini Karnival Belia Institut Pendidikan dan Latihan yang menghimpunkan enam institusi pengajian dan latihan kemahiran bagi membuka peluang kepada golongan belia mendapatkan maklumat mengenai pendidikan, latihan serta hala tuju kerjaya.
"Selain kita mahu anak-anak muda aktif dalam e-sukan, kita juga mahu mereka mempunyai hala tuju pendidikan dan kerjaya yang jelas.
"Sebab itu, saya menggalakkan semua untuk mengambil peluang ini dengan melihat pameran yang ada, bertanya apa sahaja yang ingin diketahui, melihat kursus-kursus yang ditawarkan dan mengenal pasti bidang yang diminati," kata beliau.

Tiada ulasan