1,300 PESERTA MERIAHKAN KEDAH E-SPORT CHALLENGE 3.0, HADIAH MELONJAK KEPADA RM25,000
Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR – Kejohanan Kedah E-Sport Challenge 3.0 mencipta rekod penyertaan apabila menghimpunkan seramai 1,300 peserta dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, sekali gus mendorong Kerajaan Negeri Kedah meningkatkan jumlah hadiah keseluruhan daripada RM10,000 kepada RM25,000.
Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, peningkatan hadiah itu membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyokong perkembangan industri e-sukan yang semakin mendapat tempat kalangan generasi muda.
"Peningkatan ini bukan sekadar menambah nilai pertandingan, malah merupakan tanda penghargaan kepada komuniti e-sukan yang terus berkembang serta menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyokong pembangunan industri ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Kedah E-Sport Challenge 3.0 Tahun 2026 Peringkat Negeri Kedah dan Mini Karnival Belia (Institut Pendidikan dan Latihan) di Dewan Seri Mentaloon, di sini.
Menurut Sanusi, e-sukan bukan lagi sekadar hiburan, sebaliknya sebagai satu ekosistem yang mampu membuka peluang kerjaya serta melahirkan bakat baharu dalam kalangan anak muda.
"Saya percaya daripada 1,300 peserta yang mengambil bahagian hari ini, pasti ada kalangan mereka yang bakal mengharumkan nama Kedah dan Malaysia suatu hari nanti.
"Dengan latihan berterusan, sokongan daripada pelbagai pihak dan pendedahan kepada pertandingan yang lebih kompetitif, saya berharap mereka mampu mewakili Kedah di pentas lebih tinggi seperti Sukan Malaysia (SUKMA), seterusnya mengharumkan nama negeri dan negara di peringkat antarabangsa," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, Mini Karnival Belia yang diadakan serentak dengan kejohanan tersebut menjadi platform penting dalam memperkasa pembangunan belia menerusi pendedahan kepada peluang melanjutkan pengajian, biasiswa, bantuan kewangan, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan kemahiran serta prospek kerjaya mengikut keperluan industri semasa.
Katanya, penganjuran kedua-dua program secara serentak membuktikan pembangunan belia perlu dilaksanakan secara menyeluruh, ia bukan sahaja melahirkan atlet e-sukan yang cemerlang, malah generasi muda yang berpendidikan, berkemahiran tinggi, berakhlak mulia dan bersedia memimpin masyarakat pada masa hadapan.
Sanusi berharap inisiatif itu akan terus menjadi platform mencungkil bakat, memperluaskan akses pendidikan serta memperkasa pembangunan belia Kedah secara holistik.
Post a Comment