KEDAH PERUNTUK HAMPIR RM6 JUTA SETAHUN PERKASAKAN SEKTOR TERNAKAN
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan hampir RM6 juta setiap tahun menerusi Bajet Pembangunan Negeri bagi memperkukuhkan sektor penternakan sebagai usaha meningkatkan keterjaminan bekalan makanan negeri dan negara.
Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, peruntukan yang disalurkan melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kedah itu digunakan bagi perolehan bekalan semen berkualiti, peralatan teknologi pembiakan serta pelbagai kelengkapan lain untuk memperkasakan program pembangunan veterinar di negeri ini.
Katanya, komitmen itu membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menyokong pertumbuhan industri ternakan, sekali gus meningkatkan produktiviti penternak tempatan.
"Usaha memperkukuh sektor ternakan perlu diperluaskan melalui penghasilan baka lembu hibrid berkualiti tinggi, meningkatkan produktiviti ternakan dan seterusnya menjamin bekalan daging tempatan yang mampan bagi memenuhi keperluan rakyat Kedah.
"Kita mahu industri penternakan berkembang dengan penggunaan teknologi moden, amalan penternakan terbaik serta penghasilan baka yang lebih berkualiti dan berdaya saing," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Kebajikan Haiwan dan Himpunan Lembu Sado Malaya 2026 di Taman Jubli Emas, di sini, hari ini.
Menurut Sanusi, Kerajaan Negeri turut menghargai pengorbanan golongan penternak yang terus berusaha meningkatkan pengeluaran walaupun berdepan pelbagai cabaran seperti peningkatan kos pengeluaran, perubahan iklim dan ketidaktentuan ekonomi.
“Pengorbanan penternak yang tidak pernah kenal erti penat dan usaha berterusan bermula secara kecil-kecilan sehinggalah menjadi penternak komersial amatlah dihargai.
"Mereka merupakan antara tunjang utama dalam menjayakan agenda keterjaminan makanan negara. Kerajaan Negeri amat hargai jasa dan sumbangan penternak, dalam memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi,” katanya.
Dalam pada itu, Sanusi berkata, program anjuran JPV Kedah dengan kerjasama Persatuan Lembu Sado Zon Utara itu berlangsung selama tiga hari sehingga 26 Julai dan merupakan penganjuran kali kelima.
“Program kali ini lebih meriah kerana berjaya menghimpunkan penternak lembu sado dari dalam serta luar Kedah.
“Penganjuran ini turut menghimpunkan tiga komponen utama, iaitu Karnival Kebajikan Haiwan, Himpunan Lembu Sado Malaya dan Sambutan World Rabies Day, menggabungkan pembangunan industri ternakan, pendidikan masyarakat serta kesedaran terhadap kesihatan awam dan kebajikan haiwan,” ujar beliau,
Tambah beliau, sambutan yang diterima membuktikan program tersebut berpotensi dikembangkan sebagai antara acara ikonik negeri pada masa hadapan.
"Program ini bukan sekadar memberi peluang kepada masyarakat melihat keunikan serta potensi baka Lembu Sado Malaya, malah menjadi platform terbaik mendidik orang ramai mengenai kepentingan kebajikan haiwan di samping mempromosikan peranan perkhidmatan veterinar dalam memajukan sektor ternakan di negeri ini," katanya.
Post a Comment