SULTAN KEDAH RASMI MASJID JAMIUL KHAIR BERNILAI RM3.7 JUTA DI PADANG TERAP
Roslinda Hashim
PADANG TERAP - Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berkenan berangkat merasmikan Masjid Jamiul Khair di Kampung Tong Pelu di sini, bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-84.
Baginda turut menunaikan Solat Jumaat bersama lebih 700 jemaah di masjid baharu yang dibina dengan kos keseluruhan RM3.7 juta bagi menampung keperluan penduduk enam kampung di kawasan berkenaan.
Turut berangkat, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafuddin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat, Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan dan kebajikan masjid termasuk aspek pembaikan fizikal serta kemudahan asas.
Menurut beliau, antara isu yang diberi perhatian ialah pembinaan tandas, penurapan jalan, pembaikan bumbung, status tanah serta pelbagai keperluan lain yang dilaporkan oleh Pegawai Daerah, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) serta Pegawai Agama Daerah.
“Kerjasama erat antara semua agensi kerajaan dan institusi masjid akan terus diperkukuhkan bagi memantapkan peranan masjid sebagai lambang keutuhan Islam di Kedah dan Malaysia amnya.
“Masjid bukan sahaja berfungsi sebagai rumah ibadat, malah menjadi pusat pembangunan masyarakat melalui pelbagai aktiviti kebajikan, pendidikan dan kemasyarakatan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Tambah beliau, masjid turut berperanan membantu golongan asnaf selain menjadi lokasi pelaksanaan kelas kemahiran, program motivasi pelajar dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
“Perasmian masjid baharu ini dijangka menyuntik semangat penduduk setempat untuk anjurkan lebih banyak program kreatif dan berimpak tinggi pada masa hadapan,” katanya.
Masjid Jamiul Khair yang siap sepenuhnya pada tahun 2024 menerima peruntukan RM3 juta daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), dan RM700,000 lagi disumbangkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) menerusi wakaf tunai.
Masjid berkenaan memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 penduduk daripada enam kampung di kawasan Tong Pelu.
Masjid Jamiul Khair mempunyai sejarah panjang dengan pembinaan awal bermula secara gotong-royong oleh penduduk kampung sejak tahun 1953, yang pada asalnya diperbuat daripada kayu.
Pada tahun 1963, sebuah bangunan baharu dibina di tapak sedia ada menerusi konsep gotong-royong serta sumbangan dan wakaf penduduk setempat.
Seiring pertambahan penduduk dan peningkatan jumlah jemaah dengan penambahan dua kampung baharu, projek pembinaan semula masjid dilaksanakan pada 27 Disember 2021 sebelum siap sepenuhnya pada 2024.
Masjid baharu itu mampu menampung sehingga 750 jemaah pada satu-satu masa dan dilengkapi dewan solat utama berkeluasan 50 x 50 kaki.
Post a Comment