TEMASYA ORANG KEDAH (TOK) 2026 KEMBALI LAGI!
“LEBIH MERIAH DENGAN IDENTITI SEMBILAN DAERAH”
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Temasya Orang Kedah (TOK) 2026 kembali lagi dengan penganjuran lebih meriah, lebih gempak dan sarat dengan pengisian menarik.
Festival pelancongan ikonik negeri ini menghimpunkan keunikan seni, budaya, warisan, makanan tradisi serta identiti masyarakat Kedah, sekali gus menawarkan pelbagai aktiviti dan pengalaman unik kepada pengunjung dari dalam mahupun luar Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato' Mohd. Salleh Saidin berkata, penganjuran edisi keenam itu dijangka menarik lebih 550,000 pengunjung sepanjang empat hari, bermula 30 Julai hingga 2 Ogos di Stadium Darul Aman.
“Acara kali ini lebih meriah apabila kesemua sembilan daerah di Kedah bakal mengenengahkan identiti masing-masing menerusi persembahan budaya, warisan serta keunikan gastronomi tempatan, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai festival pelancongan budaya terbesar di Kedah,” katanya.
Menurut beliau, temasya berteraskan tema 'Experience Kedah' ini dijangka menjadi tarikan utama sektor pelancongan negeri dengan memberi pengalaman secara langsung kepada pengunjung untuk mengenali keunikan dan keistimewaan Kedah.
"Kita yakin penganjuran acara tahunan ini akan terus meletakkan Kedah sebagai destinasi pelancongan yang unik dan berdaya saing," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd. Amran Mohd. Harris berkata, TOK 2026 bukan sahaja bertujuan melestarikan budaya Kedah, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.
Katanya, temasya itu turut berperanan sebagai platform utama dalam mengekalkan identiti budaya tempatan selain memperkukuhkan seni dan warisan negeri bagi menarik lebih ramai pelancong.
“Selain pameran serta pelbagai aktiviti kebudayaan, kesenian dan warisan, TOK 2026 akan dimeriahkan dengan festival makanan tempatan terbesar dengan penyertaan lebih 125 usahawan dan peniaga, yang akan memenuhi pekarangan Stadium Darul Aman sepanjang penganjuran,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Kedah Tourism, Mohd. Zaidy Omar memaklumkan, pihaknya terus mempergiatkan usaha promosi dengan kerjasama pelbagai agensi bagi menarik kehadiran pelancong antarabangsa, khususnya dari Thailand.
"Tahun lalu kita menerima kehadiran pelancong dari Thailand dan Singapura. Tahun ini, usaha promosi akan dipertingkatkan lagi supaya lebih ramai pelancong luar negara hadir memeriahkan TOK 2026," katanya.
Post a Comment