AJAK RAKYAT KIBAR JALUR GEMILANG, PUPUK GELOMBANG PATRIOTISME
Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah mengajak seluruh rakyat negeri ini untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang bagi mencetuskan gelombang patriotisme, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan kecintaan terhadap negara.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato' Seri Norizan Khazali berkata, ia bukan sekadar menggalakkan rakyat mengibarkan Jalur Gemilang, malah merupakan manifestasi semangat patriotisme, kecintaan kepada tanah air serta rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.
“Jalur Gemilang yang kita kibarkan membawa bersama sejarah perjuangan, pengorbanan dan penyatuan rakyat dalam membina sebuah negara yang merdeka, aman dan berdaulat.
“Setiap kali Jalur Gemilang berkibar, ia seharusnya mengingatkan kita keamanan dan kemakmuran yang dinikmati pada hari ini lahir daripada usaha serta pengorbanan generasi terdahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kedah di Plaza Tol Alor Setar Utara, hari ini.
Jelas beliau, Jalur Gemilang merupakan lambang penyatuan yang membawa semangat perpaduan, tanggungjawab dan kecintaan terhadap tanah air yang perlu terus disemai dalam jiwa setiap rakyat.
“Kerajaan Negeri menyeru seluruh rakyat negeri ini, termasuk jabatan dan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan, sektor swasta, komuniti, premis perniagaan serta setiap isi rumah untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dengan rasa bangga sepanjang Bulan Kebangsaan ini,” katanya.
Menurut beliau, peranan media juga penting dalam menyebarluaskan semangat kempen ini kepada masyarakat, terutama generasi muda.
“Saya juga menyeru generasi muda menyemarakkan semangat Bulan Kebangsaan melalui platform digital dan media sosial. Gunakan kreativiti untuk menyampaikan mesej patriotisme yang positif dan menjadikan Jalur Gemilang sebagai simbol yang terus dekat dengan generasi masa kini.
“Mudah-mudahan melalui kerjasama semua pihak, kita dapat wujudkan gelombang semangat patriotisme di seluruh negeri ini sempena sambutan Bulan Kebangsaan,” katanya.
Post a Comment