Header Ads

test

MAHKAMAH TOLAK TUNTUTAN SAMAN FITNAH BEKAS PEKERJA KEDAH AGRO TERHADAP SANUSI

 

Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini menolak tuntutan saman fitnah yang difailkan Siti Aishah dan dua lagi terhadap Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berhubung isu kegagalan pembayaran gaji bekas pekerja Kedah Agro menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah pada 2023.
Hakim Mahkamah Sesyen Alor Setar, Dato’ Ibrahim Osman memutuskan plaintif-plaintif gagal membuktikan tuntutan mereka berdasarkan imbangan kebarangkalian selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak serta keterangan saksi sepanjang perbicaraan.
Mahkamah antara lain mendapati plaintif gagal membuktikan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar Kedah itu merujuk kepada mereka sama ada secara langsung atau melalui innuendo.
Menurut alasan penghakiman, ucapan Sanusi hanya menyentuh operasi dan dasar Kerajaan Negeri Kedah berkaitan Kedah Agro, selain beliau selaku Menteri Besar berhak memberikan ulasan yang wajar terhadap isu berkenaan.
Mahkamah turut mendapati kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada isu yang tular ketika itu, khususnya berkaitan pembayaran gaji yang sekiranya tidak dijelaskan boleh memberi kesan buruk kepada Kerajaan Negeri Kedah.
Mahkamah juga mendapati tiada rujukan dibuat oleh Sanusi terhadap plaintif secara khusus, sebaliknya kenyataan berkenaan dibuat secara umum tanpa menamakan mana-mana individu.
Selain itu, fakta yang disebut dalam kenyataan tersebut turut diakui plaintif-plaintif sendiri sebagai fakta yang benar.
Mahkamah memutuskan tiada perkataan dalam kenyataan berkenaan yang bersifat memfitnah plaintif, manakala Sanusi berhak bergantung kepada pembelaan justifikasi berkaitan prestasi kewangan Kedah Agro termasuk isu kegagalan membayar gaji.
Sanusi juga layak bergantung kepada pembelaan ‘fair comment’ atas kapasiti beliau sebagai Menteri Besar Kedah.
Dalam penghakiman itu, mahkamah turut mendapati tiada elemen niat jahat dalam kenyataan yang dibuat dan Sanusi tidak pernah mengenali plaintif-plaintif.
Mahkamah berpandangan frasa-frasa yang dirujuk juga tidak berupaya menjatuhkan reputasi plaintif-plaintif kerana kaitannya terlalu jauh (remote).
Sehubungan itu, mahkamah menolak tuntutan plaintif-plaintif dengan kos RM10,000.
Sanusi diwakili peguam Mohd Faizi Che Abu, Dr Yusfarizal Yussoff dan Wan Rohimi Wan Daud.
Saman fitnah berkenaan difailkan susulan isu yang tular mengenai dakwaan kegagalan pembayaran gaji oleh Kedah Agro menjelang PRN enam negeri termasuk Kedah pada tahun 2023.

Tiada ulasan