DUA PROJEK MEGA RM1.1 BILION PERKUKUH BEKALAN AIR KEDAH
Ku Azizah Ku Hamid
KUALA LUMPUR – Dua projek bekalan air berimpak tinggi bernilai keseluruhan RM1.1 bilion akan dilaksanakan, melibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sidam Kiri Fasa 1 berkapasiti 200 Juta Liter Sehari (MLD) dan LRA Sungai Karangan Fasa 1 berkapasiti 150 MLD, masing-masing bernilai kira-kira RM550 juta.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Dato' Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria, penstrukturan semula industri bekalan air Kedah membabitkan pemindahan tanggungjawab pinjaman Persekutuan berjumlah kira-kira RM1.1 bilion kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) telah memberi ruang fiskal lebih luas kepada Kerajaan Negeri untuk memberi tumpuan kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
"LRA Sidam Kiri akan memperkukuh bekalan air bagi Kuala Muda, Sungai Petani serta menyokong pembangunan Kedah Aerotropolis/KXP dan SLAM, manakala LRA Sungai Karangan memberi tumpuan kepada keperluan Daerah Kulim termasuk perkembangan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) dan Kulim Industrial Corridor (KIC)," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Taklimat Pembangunan Projek Bekalan Air Negeri Kedah serta Majlis Penyerahan Geran Pajakan daripada PAAB kepada Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) di sini, hari ini.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri turut mencadangkan penubuhan jawatankuasa penyelaras khas di peringkat daerah Kuala Muda dan Kulim yang dipengerusikan Pegawai Daerah bersama SADA dan PAAB bagi memantau kemajuan tapak serta menyelesaikan isu teknikal dengan segera.
Jelas Mohamad Yusoff, proses tender kedua-dua projek dijangka dilaksanakan pada penghujung 2026 atau awal 2027, dan semua pihak berkaitan diminta mempercepatkan urusan kelulusan, permit dan pengambilan tanah bagi mengelakkan kelewatan pelaksanaan.
"Secara keseluruhannya, SADA kini telah memanfaatkan pembiayaan PAAB bagi pelaksanaan projek-projek pembangunan strategik dengan nilai pembangunan kira-kira RM1.9 bilion, mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh kapasiti dan kebolehharapan sistem bekalan air Kedah.
"Kerjasama strategik PAAB-SADA serta hubungan erat Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) diharap terus memperkukuh kemampanan industri bekalan air negeri demi memenuhi keperluan rakyat dan menyokong pertumbuhan ekonomi Kedah," ujarnya.
Post a Comment