Header Ads

test

BEKALAN BAJA LEWAT, KEKOSONGAN PENGERUSI MADA, JEJAS INDUSTRI PADI

 

Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kelewatan bekalan baja subsidi serta kekosongan jawatan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sejak hampir tiga bulan menjejaskan kelancaran operasi industri padi dan memberi tekanan kepada pesawah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, kelemahan tadbir urus kerajaan, khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyebabkan isu berkaitan input pertanian gagal diselesaikan dengan berkesan.
Menurut beliau, sehingga 29 Jun lalu, hanya 37,560 beg Baja Sebatian Tambahan Padi 3 diterima, iaitu enam peratus daripada keseluruhan keperluan sebanyak 616,015 beg.
"Daripada jumlah itu, hanya 30,799 beg telah diagihkan dengan defisit bekalan dianggarkan 160,000 beg.
"Bekalan Baja Urea pula tertangguh selepas pembida yang berjaya gagal mengembalikan Surat Setuju Terima dalam tempoh ditetapkan sehingga pelantikan terpaksa dibatalkan dan proses tender baharu dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata, walaupun KPKM sebelum ini memaklumkan pembekalan Baja Urea dijangka bermula pada 15 Julai dan masalah bekalan di kawasan MADA akan diselesaikan sebelum 30 Julai lalu, rungutan mengenai kelewatan serta kualiti Baja Sebatian Tambahan masih diterima pada awal Ogos.
Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada penyelesaian yang dijanjikan benar-benar sampai kepada pesawah di lapangan.
Mohd Ashraf yang juga Koordinator Gerakan Membela Penindasan Petani (Gempita) berkata, proses pembajaan padi mempunyai jadual yang mesti dipatuhi, dan setiap jenis baja perlu digunakan mengikut fasa pertumbuhan tanaman bagi memastikan hasil optimum.
"Pembajaan bermula dengan Baja Campuran atau Baja Sebatian Padi 1 pada peringkat awal vegetatif, diikuti Baja Urea ketika pokok beranak aktif, seterusnya Baja Sebatian Tambahan Padi 3 pada fasa pembentukan tangkai serta berbunga.
“Jabatan Pertanian menetapkan Baja Sebatian digunakan seawal 15 hingga 20 hari lepas tabur, manakala Baja Urea diperlukan ketika peringkat sekitar 25 hingga 40 hari. Baja Sebatian Tambahan pula diperlukan pada peringkat pembentukan tangkai dan berbunga, bergantung pada tempoh matang varieti padi.
"Setiap peringkat mempunyai jendela masa tertentu dan tidak boleh ditangguhkan sesuka hati kerana kelewatan pada satu peringkat akan jejaskan keseluruhan kitaran pertumbuhan, pembentukan anak padi, tangkai dan pengisian biji," katanya.
Tambahnya, akibat kelewatan itu, pesawah berisiko mengalami kemerosotan hasil serta kehilangan pendapatan walaupun masalah tersebut berpunca daripada kelemahan perancangan, perolehan dan penyelarasan kerajaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa KPKM mendedahkan status sebenar penerimaan serta pengagihan ketiga-tiga jenis baja mengikut wilayah dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), menetapkan jadual penghantaran yang jelas, menjalankan pemeriksaan bebas terhadap kualiti Baja Sebatian Tambahan serta mengambil tindakan terhadap pembekal yang gagal mematuhi kontrak.
Dalam masa sama, Mohd Ashraf mempersoalkan kelewatan pelantikan Pengerusi MADA yang baharu selepas tempoh perkhidmatan penyandang terdahulu, Datuk Dr. Ismail Salleh berakhir pada 14 Mei lalu.
Katanya, sehingga 5 Ogos, iaitu selepas 83 hari, kerajaan belum mengumumkan pengganti jawatan tersebut, malah portal rasmi MADA juga masih memaparkan kekosongan jawatan berkenaan.
"MADA ialah institusi penting yang menyelaras kepentingan pesawah, sistem pengairan, jadual penanaman dan pembangunan industri padi serta menyelaras pelbagai operasi lapangan.
"Ketika pesawah berdepan masalah air, peningkatan kos operasi dan kelewatan input pertanian, KPKM sepatutnya memastikan MADA mempunyai kepimpinan strategik lengkap serta berfungsi," katanya.
Beliau turut menggesa KPKM segera melantik Pengerusi MADA yang baharu berdasarkan kelayakan, pengalaman dan kefahaman terhadap realiti pesawah selain meminta Perdana Menteri menilai isu tersebut secara serius.
"Menteri KPKM tidak boleh terus berdiam diri. Keterjaminan makanan tidak boleh dibina melalui slogan semata-mata. Ia memerlukan kepimpinan yang cekap, tindakan pantas serta keprihatinan sebenar terhadap pesawah.
“Pokok padi tidak menunggu proses birokrasi. Apabila waktu pembajaan terlepas, kerugian itu ditanggung pesawah dan akhirnya memberi kesan kepada bekalan makanan negara," katanya.

Tiada ulasan