BOEING COMPOSITES MALAYSIA PACU EKONOMI KEDAH, UBAH KEHIDUPAN RAKYAT
Ku Azizah Ku Hamid
BUKIT KAYU HITAM – Pelaburan Boeing Composites Malaysia (BCM) selama 25 tahun di Kedah bukan sahaja mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai hab industri aeroangkasa, malah berjaya mengubah taraf hidup ribuan rakyat menerusi peluang pekerjaan berkualiti dan pembangunan modal insan.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, syarikat yang memulakan operasi pada 2001 dengan nama Asian Composites Manufacturing itu menjadi bukti bahawa pelaburan strategik mampu membawa limpahan manfaat kepada masyarakat.
Menurutnya, ramai pekerja BCM berjaya meningkatkan taraf hidup keluarga apabila mampu menghantar ibu bapa menunaikan ibadah haji, memiliki rumah sendiri serta membiayai pendidikan anak-anak sehingga berjaya menjadi golongan profesional.
"Ini bukan sekadar mengenai pembinaan kilang atau keuntungan semata-mata, tetapi bagaimana sesebuah pelaburan mampu mengubah kehidupan masyarakat dan memberikan masa depan yang lebih baik kepada rakyat.
"BCM telah membuktikan bahawa hubungan erat antara syarikat dan pekerja mampu melahirkan kejayaan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Boeing Composites Malaysia di sini.
Haim Hilman yang mewakili Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md. Nor turut merakamkan penghargaan kepada Boeing atas keyakinan berterusan melabur di Kedah sejak lebih dua dekad lalu.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus memastikan persekitaran pelaburan yang kondusif dan mesra perniagaan bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke negeri ini.
Katanya, Kedah kini antara negeri yang menawarkan proses kelulusan pelaburan yang cekap apabila tempoh daripada kelulusan projek sehingga produk pertama dieksport hanya mengambil masa kira-kira 10 bulan.
"Saya yakin Bukit Kayu Hitam akan muncul sebagai satu lagi permata ekonomi Kedah selepas kejayaan Kulim Hi-Tech Park.
"Dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, kawasan ini berpotensi berkembang sebagai bandar aeroangkasa yang mampu menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi," katanya.
Post a Comment