Header Ads

test

KEDAH, KOREA PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK, SASAR PELABURAN BERTEKNOLOGI TINGGI

 

Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR - Kedah terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Korea bagi menarik lebih banyak pelaburan berteknologi tinggi yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, Kerajaan Negeri mengalu-alukan lebih banyak kerjasama dengan syarikat-syarikat dari Korea dalam pelbagai sektor strategik.
Menurut beliau, kerjasama itu meliputi bidang pelaburan, perdagangan, teknologi, pendidikan, pelancongan dan pertukaran budaya yang diyakini mampu memperkukuh ekosistem perindustrian serta meningkatkan daya saing Kedah sebagai destinasi pelaburan utama negara.
"Kedah mengalu-alukan lebih banyak kerjasama dengan syarikat Korea, terutama dalam sektor berteknologi tinggi dan industri bernilai tinggi yang berupaya mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti, memperkukuh ekosistem perindustrian serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Duta Besar Korea ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (H.E.) Yeo Seung-bae bersama delegasinya di Wisma Darul Aman.
Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Datuk Dr. Nadzman Mustaffa; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Mohd Fauzi Mustaffa.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kundor, Mardhiyyah Johari; Ketua Pegawai Operasi Invest Kedah Berhad, Noor Ikhsan Abdul Aziz serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kulim Technology Park Corporation (KTPC), Mohd Zaid Abdul Jalil.
Haim Hilman berkata, kunjungan hormat itu menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan strategik antara Kedah dan Korea, selain meneroka potensi kerjasama baharu yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Menurut beliau, hubungan yang semakin erat antara dua negara ini diyakini mampu membuka lebih banyak peluang pelaburan strategik sekali gus menyokong agenda pembangunan ekonomi negeri secara mampan.

Tiada ulasan