ISU LESEN JUDI: KEDAH AKUR KEPUTUSAN MAHKAMAH, TELITI RUANG TINDAKAN SETERUSNYA
Roslinda Hashim
KUALA KETIL - Kedah akur keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kebenaran merayu isu menghentikan pengeluaran lesen premis perjudian, namun masih meneliti ruang yang ada untuk tindakan seterusnya bagi memastikan langkah diambil tidak bercanggah dengan undang-undang.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada peguam berhubung implikasi keputusan Mahkamah Persekutuan itu sebelum menentukan tindakan lanjut.
“Kita akur perintah mahkamah. Nanti dikatakan hina mahkamah pula.
“Ada sesi penerangan diadakan nanti. Saya jemput peguam beri penjelasan mengenai keputusan itu dari sudut undang-undang. Saya tidak boleh beri (pandangan) kerana dari sudut undang-undang, saya tidak ada kepakaran itu.
“Peguam akan beri penjelasan apa kesannya, apa yang mengikat kita, apa yang boleh dan apa yang tidak boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Kolej Kediaman dan Kemudahan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), di sini, hari ini.
Mengulas sama ada lesen baharu akan dikeluarkan susulan keputusan mahkamah itu, Sanusi berkata, perkara itu perlu diteliti terlebih dahulu berdasarkan implikasi keputusan terbabit.
“Saya tak ada keputusan itu. Tengoklah, dia punya kehendak macam mana. Hati saya dengan Tuhan saya. Tuhan saya tak bagi, tetapi ada makhluk bagi. Hati saya tetap dengan Tuhan saya,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri optimis kemungkinan terdapat ruang lain yang boleh digunakan, namun ia perlu dilakukan dengan mengambil kira keputusan mahkamah.
“Insya-Allah ada lagi jalan. Kalau tak ada orang main, takkan ada orang nak jual. Tak ada orang beli, takkan ada orang jual.
“Masalahnya, ada orang nak main (judi). Kalau semua orang tak mahu main, tak payahlah buka. Tak ada permintaan, tentulah tak ada penawaran. Itu bisnes. Ekonomi berjalan macam itu. Kalau ada permintaan, adalah penawaran,” katanya.
Mengulas dakwaan tindakan Kerajaan Negeri sebelum ini seolah menafikan hak golongan bukan Islam, beliau menegaskan tidak pernah menafikan hak mana-mana pihak.
“Kita tak ada nafi hak apa pun. Tetapi kalau benda mungkar, Tuhan suruh sekat,” katanya.
Sanusi memaklumkan, isu sebenar bukan berkaitan larangan terhadap bukan Islam, sebaliknya kegiatan perjudian itu dalam Islam.
“Mereka kata orang Melayu, orang Islam tak boleh masuk premis judi. Masalahnya, boleh masuk. Tulis saja tidak dibenarkan, tetapi orang masuk. Tak ada sekatan. Itu yang jadi isu.
“Orang Cina, oleh kerana agama dia tak halang main judi, pergilah main. Ikut suka kamu,” katanya.
Sanusi turut menegaskan pendiriannya untuk tidak meredai perkara yang dianggap mungkar menurut prinsip Islam.
“Hati saya dengan Tuhan saya. Saya tak suka (judi), tak boleh dalam Islam. Kalau saya reda dengan mungkar, saya dosa.
“Siapa yang reda dengan mungkar adalah mungkar. Konsep prinsip Islam macam itu. Reda dengan mungkar, mungkarlah. Reda dengan kufur, kufur,” katanya.
Minggu lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Kerajaan Negeri Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang membatalkan tindakan Kedah menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan di negeri itu.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin turut memerintahkan Kerajaan Negeri membayar kos RM50,000.
Post a Comment