POTENSI, HALA TUJU LANGKAWI PERLUKAN ‘RESET’
“PENDEKATAN BAHARU UNTUK CAPAI DESTINASI PELANCONGAN ANTARABANGSA PREMIUM”
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Langkawi perlu melakukan ‘reset’ terhadap potensi dan hala tuju bagi memastikan pulau lagenda itu muncul sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia yang lebih premium, berkualiti dan mampan.
Perancang Bandar, Ts. Dr. Mohd Muzzammil Ismail mencadangkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri membangunkan ‘Langkawi Tourism Investment & Transformation Blueprint 2035’ sebagai pelan induk baharu mentransformasikan sektor pelancongan pulau itu.
Menurut beliau, blueprint berkenaan perlu mengenal pasti projek pemangkin, kawasan pembangunan berpotensi seperti Bukit Malut sebagai hab perikanan Asia Tenggara, produk pelancongan baharu, keperluan infrastruktur, insentif pelaburan, strategi pemasaran serta kapasiti tampungan alam sekitar.
“Langkawi tidak memerlukan lebih banyak slogan atau kajian, yang diperlukan ialah strategi untuk mengurus aset strategik ekonomi negara ini.
“Pulau ini bukan sekadar destinasi pelancongan Kedah. Sepatutnya ia menjadi pulau yang memiliki kemudahan pelancongan bertaraf dunia.
“Langkawi perlukan RESET. Biarpun Langkawi milik Kedah, Kerajaan Persekutuan diminta jangan menganaktirikan Langkawi,” katanya.
Menurut mantan Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) ECO (Langsura Geopark 2019-2022) itu, Langkawi bukan lagi berdepan persoalan sama ada pulau itu mempunyai potensi, sebaliknya bagaimana potensi itu dioptimumkan secara lebih strategik dan mampan.
Katanya, Langkawi perlu beralih kepada pelancongan bernilai tinggi, berkualiti dan lestari, selaras dengan kajian mengenai ‘Tourism Carrying Capacity in Langkawi’ yang pernah diterbitkannya bersama profesor dan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2015.
“Ukuran kejayaan tidak seharusnya hanya berdasarkan jumlah ketibaan pelancong, tetapi berapa lama mereka tinggal, berapa banyak mereka berbelanja, pengalaman yang mereka peroleh, dan sama ada mereka mahu kembali semula.
“Langkawi bukan kekurangan potensi. Yang kita perlukan ialah model baharu dan pemasaran baharu,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Muzzammil berkata, Langkawi perlu membangunkan keseluruhan ekosistem pelancongan sebagaimana dilakukan Bali dan Bandung, khususnya aspek hospitaliti, produk, pengalaman, komuniti serta pemasaran antarabangsa.
“Kejayaan di Bandung dan Bali bukan semata-mata kerana pantainya, tetapi kerana mereka membina keseluruhan ekosistem pelancongan daripada layanan, produk, pengalaman, komuniti sehingga kepada pemasaran antarabangsa,” katanya.
Katanya, portfolio produk pelancongan Langkawi perlu dipelbagaikan bagi menarik pelaburan swasta baharu.
“Produk pelancongan kini lebih tertumpu kepada eco-resort dan nature tourism seperti
pelancongan kesihatan dan kesejahteraan, pelancongan marin, pengembaraan, agropelancongan serta hiburan keluarga.
“Langkawi perlu tawarkan identiti tersendiri seperti ‘Islamic Friendly Tourism’ yang mempunyai pasaran besar khususnya dari rantau Timur Tengah, Indonesia, Brunei dan negara-negara Islam. Kita bina ‘Experience Langkawi’ untuk menarik pelaburan baharu,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan konsep Duty-Free 2.0, menjadikan status bebas cukai Langkawi sebahagian daripada ekosistem pelancongan beli-belah premium merangkumi gastronomi dan hiburan seperti di Kuningan Ubud (Bali), Jalan Sudirman (Bandung) dan Orchard Road di Singapura.
Menurutnya, pembangunan produk tempatan juga perlu diperkukuh kerana sebahagian barangan di kawasan pelancongan seperti Pantai Chenang terdiri daripada barangan import.
“Barangan lokal belum cukup kuat untuk menarik pelancong. Kebanyakan produk dijual sekitar Pantai Chenang adalah buatan luar seperti China, bukannya Made in Malaysia atau Langkawi,” katanya.
Mohd Muzzammil berkata, Langkawi juga berpotensi dijadikan hab serantau bagi pelancongan kapal layar, pelayaran, memancing dan pelancongan maritim di utara ASEAN.
“Potensi lain ialah membangunkan Langkawi sebagai ‘Pulau Kesihatan’, dengan kemudahan hospital swasta, resort kesihatan, spa bertaraf antarabangsa, retreat kesejahteraan, kesihatan mental, rawatan tradisional Melayu serta pelancongan kesihatan islamik,” katanya.
Namun katanya, Langkawi memerlukan strategi promosi lebih agresif dengan kerjasama Tourism Malaysia, syarikat penerbangan, hotel, agensi pelancongan dan pengendali pelancongan antarabangsa.
“Pasaran China, India, Jepun, Korea, Eropah dan ASEAN perlu diberi tumpuan bagi meningkatkan kedatangan pelancong berkualiti tinggi.
“Lebih banyak acara bertaraf antarabangsa diperlukan, selain LIMA, Le Tour dan Ironman. Kita perlukan model baharu dan pemasaran baharu,” ujarnya.
Selain itu, katanya, isu pengangkutan, khususnya kekerapan perkhidmatan feri perlu diselesaikan segera bagi memastikan pertumbuhan sektor pelancongan tidak terjejas.
“Mana mungkin ramai pengunjung masuk ke pulau jika masih dibelenggu masalah feri. Kementerian Pengangkutan wajar selesaikan isu ini termasuk subsidi bahan api,” katanya.
Cadangan dikemukakan selari dengan usul diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 10 Ogos, berhubung hala tuju pembangunan Langkawi serta memperkasakannya sebagai ‘Permata Kedah’ secara lestari, khususnya dalam memastikan pulau lagenda dibangunkan sebagai destinasi pelancongan premium.
ARTIKEL BERKAITAN:
DUN KEDAH LULUS USUL TITAH SULTAN KEDAH, PERKASAKAN LANGKAWI ‘PERMATA KEDAH’
https://www.facebook.com/share/p/1LrD8NGRto/
#UrusSetiaPeneranganDarulAman
#UPDA
#langkawi

Post a Comment