RM55 JUTA BINA KEMUDAHAN KOLEJ KEDIAMAN UNISHAMS, MANFAATKAN 2,360 PELAJAR
Roslinda Hashim
KUALA KETIL - Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan RM55 juta bagi pembinaan kolej kediaman dan kemudahan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) yang mampu menempatkan 2,360 pelajar.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, projek berkenaan membabitkan pembinaan empat blok kolej kediaman, masing-masing dua blok untuk pelajar lelaki dan dua blok pelajar perempuan.
Beliau berkata, walaupun kemudahan itu belum mampu menampung keseluruhan jumlah pelajar UniSHAMS, penyediaan asrama yang selesa dan kondusif menjadi antara faktor penting dalam menarik pelajar memilih universiti berkenaan sebagai destinasi pengajian tinggi.
“Memang tidak dapat menampung kesemuanya, tetapi salah satu faktor yang akan menarik pelajar memilih UniSHAMS sebagai destinasi pengajian tinggi adalah, antaranya, asrama,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Kolej Kediaman dan Kemudahan Pelajar UniSHAMS, di sini, hari ini.
Sanusi berkata, projek itu dilaksanakan dalam tempoh 24 bulan dan dijangka siap pada 17 Ogos 2028.
Katanya, Kerajaan Negeri turut menekankan aspek tadbir urus yang baik, pematuhan terhadap jadual serta spesifikasi ditetapkan selain memastikan kualiti pembinaan terjamin.
“Saya harap semua pihak termasuk perunding dan kontraktor memberi komitmen sepenuhnya supaya projek ini dapat disiapkan mengikut tempoh dan spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.
Dalam ucapannya sebelum itu, Sanusi berkata, pembangunan kemudahan fizikal perlu seiring dengan usaha memperkukuh kualiti pendidikan, penyelidikan, pembangunan sahsiah dan sumbangan kepada masyarakat.
“Apabila jumlah pelajar bertambah, kemudahan universiti juga mesti berkembang. Kita tidak boleh bercakap tentang universiti berkualiti sekiranya mahasiswa tidak mempunyai persekitaran kehidupan yang selesa, selamat dan kondusif.
“Matlamat kita bukan sekadar memastikan projek ini siap mengikut jadual, tetapi menyediakan sebuah kolej kediaman berkualiti, selamat, berfungsi dengan baik dan mampu berkhidmat kepada mahasiswa untuk tempoh jangka panjang,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) atas keprihatinan dan komitmen menyalurkan dana pembangunan bagi pembinaan kolej kediaman tersebut.
Menurutnya lagi, asrama itu kelak bukan sekadar sebuah bangunan, sebaliknya akan menjadi ‘rumah kedua’ kepada ribuan anak muda yang datang menuntut ilmu dan membina masa depan.
“Majlis pecah tanah ini membawa makna lebih besar daripada sekadar sebuah projek fizikal. Kita sebenarnya sedang menyediakan ruang untuk ilmu berkembang, membina manusia dan melabur kepada generasi masa depan Kedah,” katanya.
Sanusi berkata, pembangunan UniSHAMS juga dilihat sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan ekonomi dan sosial negeri kerana perkembangan institusi pendidikan mampu membuka peluang pekerjaan, menarik bakat dan kepakaran serta memperkukuh penyelidikan, inovasi dan kerjasama industri.
“Justeru, pelaburan dalam UniSHAMS merupakan pelaburan strategik jangka panjang dalam pembangunan modal insan negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, Sanusi turut mengimbau jasa mantan Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak yang memberikan perhatian terhadap pembangunan kampus tetap UniSHAMS di Kuala Ketil ketika menerajui pentadbiran Kedah.
Katanya, keputusan memindahkan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) ke kampus baharu di Kuala Ketil ketika pentadbiran Allahyarham merupakan langkah penting yang menjadi asas kepada perkembangan institusi berkenaan.
“Keputusan yang dibuat ketika itu bukan keputusan kecil. Ia lahir daripada keyakinan Kedah perlu mempunyai sebuah kampus universiti Islam yang dapat berkembang untuk generasi akan datang.
“Apabila kita melihat UniSHAMS terus berkembang di Kuala Ketil, kita sebenarnya sedang menyaksikan kesinambungan kepada sebuah cita-cita yang telah dibina sejak bertahun-tahun dahulu,” katanya.
Tambah beliau, legasi Allahyarham wajar terus dikenang, malah nama bekas Menteri Besar Kedah itu kini diabadikan pada bangunan Canselori UniSHAMS.
“Pembangunan yang kita mulakan hari ini adalah sebahagian daripada kesinambungan legasi itu, daripada membina sebuah kampus, kepada membina sebuah universiti yang semakin lengkap dan matang,” katanya.
Post a Comment