PRINX CHENGSHAN RANGSANG PERTUMBUHAN EKONOMI, KUKUHKAN KEDAH SEBAGAI HAB INDUSTRI GETAH, PEMBUATAN TAYAR
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Pelaburan bernilai RM2.6 bilion oleh Prinx Chengshan Holdings Limited di Kedah Rubber City (KRC) Padang Terap akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem industri tayar negara, sekali gus mewujudkan 1,056 peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, pelaburan strategik itu bukan sahaja merangsang pertumbuhan ekonomi negeri, malah mengukuhkan kedudukan Kedah sebagai hab industri getah dan pembuatan tayar.
"Kerajaan Negeri Kedah komited untuk terus memudah cara pelaksanaan projek Prinx Tire di Kedah Rubber City. Kita juga mengalu-alukan kemasukan pembekal, vendor dan rakan strategik Prinx Chengshan bagi membentuk ekosistem industri tayar dan produk berasaskan getah yang lebih lengkap di Kedah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Kedah mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat dan kompleks pembuatan Prinx Chengshan Holdings Limited di Rongcheng, Weihai, Wilayah Shandong, China pada 23 Julai lalu sempena Misi Pelaburan dan Perdagangan ke China.
Turut serta, Ketua Pegawai Operasi Invest Kedah Berhad, Noor Ikhsan Abdul Aziz.
Delegasi Kedah disambut barisan kepimpinan kanan Prinx Chengshan termasuk Pengerusi Chengshan Group Co., Ltd., Che Hongzhi; Naib Presidennya, Shi Futao; Presiden Eksekutif Prinx Chengshan Holdings Limited, Jiang Xiazhou serta Pengurus Besar Prinx Tire (Malaysia) Sdn. Bhd., Cao Kai.
Menurut Haim Hilman, Kerajaan Negeri mahu memastikan manfaat pelaburan tersebut turut dinikmati rakyat melalui penyediaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, selain pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan industri.
"Kerajaan Negeri mahu memastikan rakyat Kedah bukan sahaja mendapat peluang kerja, tetapi turut diberikan latihan dan kemahiran yang membolehkan mereka mengisi jawatan teknikal, profesional serta berkemahiran tinggi dalam industri ini.
"Justeru, kerjasama dengan institusi pengajian tinggi, politeknik, kolej komuniti dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan terus diperkukuh bagi membangunkan program latihan yang memenuhi keperluan sebenar industri," katanya.
Tambah Haim Hilman, lawatan itu turut dimanfaatkan bagi mempromosikan peluang pelaburan di Kedah kepada rangkaian pembekal dan vendor Prinx Chengshan supaya mereka mempertimbangkan Kedah sebagai lokasi pengembangan operasi.
“Kita ketengahkan kelebihan Kedah sebagai destinasi pelaburan strategik, termasuk ketersediaan kawasan perindustrian, akses kepada pasaran serantau, sokongan kerajaan serta khidmat pemudahcaraan yang disediakan Kerajaan Negeri melalui Invest Kedah Berhad.
"Kita mahu pelaburan Prinx Chengshan memberi impak lebih besar kepada Kedah. Selain bangunkan kilang utama, kita harap pembekal dan vendor mereka juga akan memilih Kedah untuk menubuhkan operasi, sekali gus mewujudkan ekosistem industri yang kukuh, peluang pekerjaan berkualiti serta tenaga kerja tempatan mahir dan berdaya saing," katanya.
Menurut beliau, kehadiran syarikat sokongan penting bagi membentuk ekosistem industri tayar yang lebih lengkap, berdaya saing dan mampan di KRC.
“Kemasukan pembekal dan vendor Prinx Chengshan ke Kedah juga akan meningkatkan penggunaan kandungan tempatan, memperkukuh rantaian bekalan industri serta mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan,” katanya.
Delegasi turut meninjau kilang Prinx Chengshan, Dewan Pameran, TBR Intelligent Manufacturing Workshop, 10 Million PCR Tire Workshop dan Intelligent OTR Tire Factory, berkaitan penggunaan teknologi automasi, sistem pembuatan pintar, kawalan kualiti dan pengurusan operasi bersepadu pengeluaran tayar bagi pasaran domestik dan antarabangsa.
Turut diadakan sesi taklimat serta dialog mengenai perkembangan projek Prinx Tire (Malaysia) Sdn. Bhd. serta perancangan kemasukan pembekal dan vendor syarikat ke kawasan perindustrian KRC.
Prinx Chengshan melalui anak syarikat milik penuhnya, Prinx Tire (Malaysia) Sdn. Bhd., kini sedang membangunkan kemudahan pembuatan tayar berteknologi tinggi di KRC dengan nilai pelaburan RM2.6 bilion dalam tempoh 15 tahun.
Kemudahan seluas kira-kira 213,000 meter persegi itu dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada suku pertama 2027 dan akan dilengkapi teknologi Industri 4.0, sistem automasi canggih, proses pembuatan pintar, gudang pintar serta pusat penyelidikan dan pembangunan.
Selain menjana lebih 1,056 peluang pekerjaan, projek berkenaan turut dijangka meningkatkan pemindahan teknologi, mengukuhkan rantaian bekalan industri serta merancakkan pertumbuhan industri sokongan dan penyertaan syarikat tempatan dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi.
Post a Comment