Header Ads

test

KEDAH PERKASA EDUTOURISM, BUKA PELUANG PERLUAS PROMOSI PELANCONGAN NEGERI

ALOR SETAR – Kedah mengorak langkah memperkukuh sektor pelancongan negeri menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) JetAsia Sdn. Bhd. dan Koperasi Kemajuan Pelancongan Kedah (KKPK) dalam sektor EduTourism yang dijangka membuka lebih banyak peluang promosi serta menarik kehadiran pelancong berkualiti dari dalam dan luar negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, inisiatif itu merupakan satu pendekatan baharu yang bukan sahaja mempromosikan destinasi pelancongan, malah memberi peluang kepada peserta untuk memahami budaya, masyarakat dan keunikan negeri Kedah secara lebih dekat.
Menurut beliau, pengalaman yang diperoleh melalui program edutourism mampu memberi impak lebih besar berbanding lawatan biasa kerana peserta berpeluang merasai sendiri kehidupan masyarakat setempat serta menjadi duta kecil yang mempromosikan Kedah apabila kembali ke negara atau negeri masing-masing.
“Kita mahu mereka pulang bukan sekadar membawa gambar-gambar cantik, tetapi membawa cerita mengenai keramahan rakyat Kedah, keistimewaan makanan dan keindahan alam semula jadi negeri ini.
“Apabila mereka berkongsi pengalaman tersebut, secara tidak langsung ia menjadi promosi terbaik untuk menarik lebih ramai pelawat datang ke Kedah,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU Edutourism Kedah, di sini.
Beliau berkata, usaha berterusan kerajaan negeri bersama pemain industri pelancongan telah menunjukkan hasil memberangsangkan apabila jumlah pelawat dan pelancong ke Kedah terus meningkat sepanjang tahun lalu.
Katanya, statistik menunjukkan jumlah pelancong dan pelawat domestik ke negeri ini meningkat daripada 14.7 juta pada tahun 2024 kepada 15.6 juta pada tahun 2025, manakala jumlah pelancong antarabangsa turut mencatat peningkatan daripada 1.9 juta kepada 2.1 juta orang.
“Pencapaian ini membuktikan kerjasama erat antara kerajaan negeri, agensi, pemain industri dan masyarakat berjaya memperkukuhkan sektor pelancongan Kedah.
“Kita akan terus memperkasa pelbagai inisiatif baharu supaya Kedah mampu muncul sebagai destinasi pelancongan utama negara dan rantau ini dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” ujarnya.
Dalam majlis yang sama, Kerajaan Negeri turut meraikan kejayaan beberapa produk pelancongan Kedah yang berjaya meraih pengiktirafan dalam Tourism Industry Award (TIA) 2026, sekali gus membuktikan kemampuan produk pelancongan negeri Kedah untuk terus bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Tiada ulasan