Header Ads

test

PERKHIDMATAN FERI BELENGGU LANGKAWI SEJAK SEKIAN LAMA

“MOHON MOT BERTINDAK”
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Masalah perkhidmatan feri antara isu utama yang membelenggu sektor pelancongan Langkawi sejak sekian lama, terutama membabitkan pelancong domestik yang bergantung kepada pengangkutan laut untuk ke pulau peranginan itu.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, isu berkenaan perlu diberi perhatian serius kerana apabila perkhidmatan feri terjejas, pelancongan domestik di Langkawi turut menerima kesannya.
Katanya, antara punca utama ialah masalah mendapan selut di laluan masuk ke jeti yang memerlukan kerja pengerukan dilakukan secara berkala.
“Setiap tahun mereka perlu buat pengerukan selut. Alasan kenapa feri dikurangkan kerana air surut. Pengerukan tidak dibuat, maka perjalanan ke Langkawi tersangkut dan orang terpaksa tunggu lama.
“Ini pengalaman yang tidak memberi galakan untuk orang pergi ke Langkawi,” katanya pada sidang media selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Menurut Sanusi, kekerapan perjalanan feri juga tidak menentu, dengan jumlah perjalanan boleh berubah mengikut musim dan keadaan laluan.
“Daripada lima trip, kadang-kadang waktu low season, tiga trip sahaja. Peak season boleh sampai lima, kadang-kadang lapan trip perjalanan feri,” katanya.
Beliau berkata, isu berkenaan memberi kesan kepada pelancong domestik kerana kebanyakan mereka menggunakan feri, berbanding pelancong antarabangsa yang lazimnya menggunakan penerbangan.
“Bila feri tidak okay, pelancongan domestik akan terjejas. Inilah isu yang membelenggu Langkawi sejak sekian lama. Pelancong domestik menginap di hotel tiga bintang ke bawah dan mereka bergantung kepada feri.
“Berbeza dengan pelancong antarabangsa, gunakan pengangkutan udara, boleh cecah 25 penerbangan sehari. Sebab itu hotel-hotel empat atau lima bintang penuh. Malah ada hotel empat bintang ke atas merekodkan kadar penginapan 70 peratus, yang mana ini cukup memberangsangkan,” katanya.
Sanusi berkata, masalah akses ke pulau lagenda itu tidak sepatutnya diletakkan sebagai tanggungjawab Kerajaan Negeri semata-mata kerana perkhidmatan feri berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan (MOT).
Katanya, Kerajaan Negeri sebelum ini sudah meminta Kerajaan Persekutuan menerusi MOT mempertimbangkan subsidi khas bagi perjalanan feri ke Langkawi, kerana mengambil kira jarak perjalanan serta kos operasi yang tinggi.
“Kita pernah minta MOT, Kerajaan Persekutuan pertimbangkan subsidi khas kepada feri ke Langkawi.
“Daripada tiga pulau utama, Pulau Pangkor, Pulau Langkawi dan Pulau Tioman, minyak paling mahal ke Langkawi sebab tidak mendapat subsidi. Ia perlu dipertimbangkan untuk menggalakkan kehadiran pelancong,” katanya.
Sanusi tegaskan, masalah tersebut perlu diselesaikan segera kerana Langkawi menyumbang antara RM4 bilion hingga RM8 bilion setahun kepada negara menerusi sektor pelancongan dan sektor ekonomi lain.
Beliau turut mempersoalkan keutamaan peruntukan Kerajaan Persekutuan dalam menyelesaikan isu pengangkutan.
“Kalau kita bandingkan keperluan selesaikan masalah feri Langkawi berbanding bilion yang diluluskan untuk LRT Pulau Pinang, pengerukan itu lebih penting.
“Kalau tempat lain boleh diberi bilion-bilion, feri Langkawi tak boleh beri?,” soal beliau.
Malah, katanya, isu jeti baharu ke Langkawi juga bukan perkara baharu kerana proses tender bernilai RM240 juta bagi projek berkenaan sudah dibuka pada 2020.
Katanya, Kerajaan Negeri pada ketika itu turut mencadangkan supaya tapak jeti dianjak lebih ke tengah bagi mengurangkan masalah pengerukan dan lambakan selut, namun cadangan itu tidak diterima.
“Pada masa itu kita beri pandangan tapak itu ke tengah laut sedikit supaya isu pengerukan dan lambakan selut tidak berlaku. Mereka buat di situ juga. Jadi, tak payahlah nak claim semua,” katanya.
Dalam pada itu, Sanusi menegaskan Langkawi perlu dikekalkan sebagai destinasi pelancongan lestari yang mempunyai identiti tersendiri serta selari dengan budaya dan adat setempat.
Katanya, tumpuan kini perlu diberikan kepada penyelesaian masalah pengangkutan feri, bukannya membuat perbandingan tidak wajar dengan destinasi pelancongan luar negara.
“Kita nak kekalkan Langkawi sebagai destinasi pelancongan lestari, selari dengan budaya dan adat setempat. Tidak adil buat perbandingan Langkawi dengan Phuket, Hatyai atau Bali. Di sana aktiviti pelancongan bercanggah dengan budaya kita malah ada yang tidak halal. Takkan kita nak bawa Langkawi ke arah itu.
“Tak payah bandinglah dengan negara luar. Setiap destinasi pelancongan ada tarikan tersendiri dan identiti. Langkawi juga ada ciri-ciri khusus yang hebat untuk dikunjungi.
“Sengaja buat naratif tak elok kepada Langkawi. Buat spekulasi pelik-pelik. Sebab tu kita desak item seperti kereta mewah dimasukkan sebagai bebas cukai, sebagai tarikan pelancongan,” katanya.

Tiada ulasan