Header Ads

test

KEDAH SEIMBANG PEMBANGUNAN PELANCONGAN, PEMULIHARAAN ALAM

Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah memberi penekanan terhadap pembangunan sektor pelancongan yang seimbang dengan usaha memelihara khazanah alam dan memastikan kelestarian ekosistem negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, Kerajaan Negeri Kedah tidak hanya mengejar jumlah kedatangan pelancong semata-mata, sebaliknya pembangunan pelancongan perlu dilaksanakan berasaskan kajian dan perancangan yang mengambil kira kelestarian alam sekitar.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan hutan tidak rosak, sungai tidak tercemar dan ekosistem tidak terjejas akibat aktiviti pelancongan.
“Kalau perkara itu berlaku, maka pelancong hanya akan datang sekali sahaja. Sebab itu Taman Negeri Ulu Muda ini tidak dibangunkan secara ad hoc, sebaliknya dipandu oleh beberapa kajian dan perancangan utama.
“Antaranya ialah Rancangan Tempatan Majlis Daerah Sik Kedah 2035 (Penggantian), Pelan Tindakan Pembangunan Pelancongan Ulu Muda serta Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine, khususnya yang melibatkan rangkaian Hutan Simpan Ulu Muda, Bukit Sayong, Pedu dan Cebar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahmad Sulaiman (PAS-Belantik) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Salleh berkata, Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi dalam memperkukuh pembangunan ekopelancongan, khususnya di daerah Sik.
Katanya, Universiti Utara Malaysia (UUM) terlibat dalam latihan pemandu pelancong setempat serta kajian berkaitan pelancongan astronomi atau astrotourism di daerah berkenaan.
“Manakala USM pula melalui Pusat Penyelidikan Arkeologi Global telah melaksanakan ekspedisi berkaitan penemuan arkeologi di Tasik Gubir.
“Ini merupakan satu bidang yang mempunyai potensi yang cukup menarik,” katanya.
Selain itu, katanya, terdapat juga kajian bersama UUM berkaitan Transformasi Sosioekonomi Komuniti Nelayan Darat Tasik Gubir melalui latihan pengurusan serta pembangunan pakej bot rumah (houseboat).
“Ini penting kerana bagi kerajaan negeri, ekopelancongan tidak sepatutnya hanya membawa orang masuk melihat alam. Orang tempatan juga mesti mendapat manfaat ekonomi daripada pelancongan itu.
“Kalau pelancong mai ramai, masyarakat setempat hanya boleh tengok bas lalu-lalang depan rumah sahaja, itu tak boleh panggil lagi pembangunan pelancongan yang berjaya.
“Sebab itu kita nak komuniti setempat ini terlibat sebagai pemandu pelancong, operator, penyedia makanan, pengusaha penginapan, kraftangan dan perkhidmatan-perkhidmatan lain,” katanya.
Mohd Salleh berkata, bagi pengurusan Taman Negeri Ulu Muda pula, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah telah mewujudkan Rancangan Pengurusan dan Pembangunan Hutan Taman Negeri Ulu Muda sejak 2022.
Katanya, menerusi rancangan tersebut, aktiviti ekopelancongan dibahagikan kepada empat zon, iaitu Zon Pelancongan Eksklusif, Zon Rekreasi Santai, Zon Rekreasi Lasak dan Zon Persinggahan.
“Pembahagian ini penting supaya aktiviti pelancongan dapat disesuaikan dengan kemampuan dan sensitiviti kawasan,” katanya.
Pada tahun ini, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah turut akan melaksanakan program pembangunan ekopelancongan bagi melatih komuniti setempat sebagai pemandu pelancong khas di Taman Negeri Ulu Muda dengan kerjasama beberapa agensi serta badan bukan kerajaan.
Beliau berkata, kemahiran tersebut juga diharapkan dapat menjadi sumber pendapatan kepada komuniti setempat.
Sementara itu, bagi Gunung Jerai, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah memberi fokus kepada Taman Ekorimba Sungai Teroi, Muzium Perhutanan Negeri Kedah serta denai-denai pendakian di sekitar Hutan Simpan Gunung Jerai.
“Taman Ekorimba Sungai Teroi telah diiktiraf dan kini dikendalikan oleh operator yang dilantik kerajaan negeri.
“Gunung Jerai juga mempunyai Muzium Perhutanan Negeri Kedah yang berada di kawasan pergunungan selain mempunyai potensi yang sangat besar untuk terus dipromosikan sebagai destinasi tanah tinggi serta sebahagian daripada tarikan geopark negeri Kedah,” katanya.
Jelasnya, terdapat tiga perkara utama yang perlu diberi penekanan dalam membangunkan ekopelancongan negeri, iaitu pemuliharaan yang berjalan seiring dengan pembangunan pelancongan, penglibatan komuniti setempat sebagai pemain dan penerima manfaat ekonomi serta perubahan pendekatan daripada sekadar mempromosikan lokasi untuk dilawati kepada pengalaman untuk dirasai.

Tiada ulasan