Header Ads

test

KELONGGARAN CUKAI PELANCONGAN BOLEH IMBANG KOS AKSES KE LANGKAWI

Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR – Kerajaan Persekutuan disaran memanfaatkan kuasa di bawah Akta Cukai Pelancongan 2017 untuk memberi kelonggaran percukaian di Langkawi bagi mengimbangi kos perjalanan yang tinggi ke pulau peranginan itu.
Menurut ADUN Pengkalan Kundor, Mardhiyyah Johari, berbanding destinasi seperti Pulau Pinang dan Thailand yang boleh diakses melalui jalan darat, Langkawi mempunyai pilihan pengangkutan yang lebih terhad, sekali gus menyumbang kepada kos perjalanan yang lebih tinggi.
Katanya, kuasa yang diberikan kepada Menteri di bawah Akta Cukai Pelancongan 2017, khususnya berkaitan penetapan kadar serta kuasa memberi pengecualian cukai, boleh dimanfaatkan bagi membantu menggalakkan industri pelancongan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat di Langkawi.
“Dengan kuasa yang begitu luas diberikan kepada Menteri melalui Akta Cukai Pelancongan 2017, kuasa tersebut boleh dimanfaatkan untuk memberi kelonggaran dalam aspek percukaian di Langkawi bagi menggalakkan industri pelancongan dan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan usul menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah berhubung hala tuju Pulau Langkawi sebagai Permata Kedah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Tambahnya lagi, Kerajaaan Persekutuan perlu mengembalikan semula keistimewaan tertentu berkaitan status Pulau Bebas Cukai bagi membantu sektor pelancongan dan perniagaan di Langkawi.
Mardhiyyah berkata, perkara itu wajar dipertimbangkan secara serius oleh Kerajaan Persekutuan demi masa depan industri pelancongan Langkawi serta manfaat ekonomi kepada negara.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menekankan kepentingan pembangunan Kuala Kedah sebagai sebahagian daripada ekosistem pelancongan Langkawi, khususnya memandangkan Kuala Kedah menjadi antara laluan feri domestik utama ke pulau berkenaan.
“Peningkatan aliran pelancong ke Langkawi perlu dimanfaatkan bagi mewujudkan kesan limpahan ekonomi kepada Kuala Kedah menerusi sektor perikanan, warisan masakan laut tempatan dan industri kraftangan.
“Supaya pelancong datang dapat dua dalam satu, satu Langkawi, dua Kuala Kedah.
“Semoga pembangunan jeti Kuala Kedah yang bakal dilaksanakan dapat memperkukuh potensi kawasan sekitar termasuk Pengkalan Kundor, Anak Bukit dan Kubang Rotan sebagai destinasi yang turut menerima limpahan manfaat daripada pertumbuhan pelancongan Langkawi,” katanya.

Tiada ulasan