Header Ads

test

KEDAH TAWAR KADAR CUKAI TANAH LEBIH RENDAH KEPADA SEKOLAH BUKAN BERORIENTASI KEUNTUNGAN

 

Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Sekolah yang beroperasi bukan berorientasikan keuntungan di Kedah dicadang memohon untuk dikenakan kadar cukai institusi pendidikan, yang jauh lebih rendah berbanding kadar sedia ada.
Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, cadangan itu bertujuan mengurangkan beban institusi pendidikan terbabit, khususnya dari aspek cukai tanah yang berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.
Katanya, permohonan daripada sekolah berkenaan akan dipertimbangkan Kerajaan Negeri sekiranya memenuhi syarat ditetapkan.
"Cadangan kepada sekolah-sekolah yang beroperasi dan bukan berorientasikan keuntungan. Kita cadang mereka buat permohonan untuk dikenakan kadar cukai institusi pendidikan.
"Kadar cukai ini jauh lebih murah. Kita akan pertimbang kalau mereka buat permohonan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.
Menurut beliau, langkah itu dilihat wajar memandangkan terdapat institusi pendidikan yang berdepan beban cukai tanah tinggi akibat status pemilikan tanah persendirian.
Beliau memberi contoh sebuah sekolah yang dikenakan cukai tanah sebanyak RM24,000 setahun berikutan kadar cukai 60 sen semeter persegi.
“Kita cadang begitu kerana cukai dia agak tinggi berbanding sekolah-sekolah biasa. Jadi kita cadang supaya mereka mohon. Kita akan kategorikan mereka sebagai sekolah pendidikan yang beroperasi bukan berdasarkan keuntungan.
“Mereka akan dapat dua pengurangan, iaitu pengurangan tunggakan semasa serta penurunan kadar cukai. Kita mahu institusi pendidikan yang melahirkan bijak pandai ini diberi keringanan daripada aspek cukai,” katanya.
Pada Rabu lepas, Sanusi mengumumkan Kerajaan Negeri meluluskan penghapusan 90 peratus tunggakan cukai tanah membabitkan dua Sekolah Cina Persendirian di Kedah berjumlah RM444,000.
Katanya, sekolah terbabit iaitu Sekolah Menengah Keat Hwa Alor Setar dan Sekolah Menengah Sin Min Sungai Petani hanya perlu membayar baki kira-kira RM44,000 selepas pengurangan berkenaan.
"Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kedudukan kewangan sekolah terbabit yang bukan berasaskan keuntungan selain memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi berpendidikan," katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri berharap pihak sekolah segera mengemukakan permohonan agar pertimbangan dapat dibuat dengan lebih cepat.

Tiada ulasan