TAHUN MELAWAT KEDAH (TMK) 2025 REKODKAN 9.2 JUTA PELANCONG
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kedah merekodkan kehadiran 9.2 juta pelancong domestik dan antarabangsa sempena Kempen Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025, sekali gus mengukuhkan sektor pelancongan sebagai antara pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negeri.
Menteri Besar, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, daripada jumlah itu, 7.1 juta merupakan pelancong domestik, manakala 2.1 juta lagi pelancong antarabangsa yang memilih Kedah sebagai destinasi percutian.
Katanya, pencapaian itu membuktikan Kedah terus menjadi pilihan pelancong bukan sahaja di Langkawi, malah turut melibatkan pelbagai lokasi pelancongan di tanah besar.
"Alhamdulillah, terima kasih kepada pelancong domestik dan antarabangsa yang memilih Kedah sebagai destinasi mereka.
"Bukan sahaja Langkawi, tetapi juga kawasan di tanah besar yang semakin mendapat perhatian pelancong," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri akan terus memperbanyakkan lokasi dan produk pelancongan baharu bagi menarik lebih ramai pelawat ke negeri ini.
"Ekonomi sekarang juga banyak bergantung kepada sektor pelancongan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri," katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Dato' Mohd Salleh Saidin memaklumkan TMK 2025 berjaya mencapai sasaran tujuh juta pelancong berdasarkan data kemasukan di lokasi pelancongan utama, pintu sempadan serta rekod pergerakan di lapangan terbang.
Menurut beliau, kehadiran tujuh juta pelancong itu dianggarkan mampu menjana nilai ekonomi antara RM4.9 bilion hingga RM7 bilion menerusi perbelanjaan bagi penginapan, makanan, pengangkutan, membeli-belah dan aktiviti pelancongan.
Dalam perkembangan berkaitan, Sanusi berkata, Temasya Orang Kedah (TOK) 2026 yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kerajaan Negeri serta pelbagai agensi turut mencatat kejayaan apabila menerima 566,889 pengunjung sepanjang empat hari penganjurannya di pekarangan Stadium Darul Aman.
Katanya, jumlah itu melepasi sasaran awal sebanyak 550,000 pengunjung, malah meningkat berbanding kehadiran kira-kira 544,000 pengunjung pada penganjuran tahun lalu.
"Saya harap program seperti ini akan diteruskan lagi. Sasaran kita selepas ini ialah untuk mencapai satu juta pengunjung.
"Itu juga adalah pelancongan yang memberi limpahan ekonomi kepada negeri," katanya.
Post a Comment