KUARI BUKIT PERAK MAMPU PENUHI PERMINTAAN INDUSTRI, 70 PERATUS SUMBER MASIH BERBAKI
Roslinda Hashim
PENDANG - Kuari Bukit Perak masih mempunyai kira-kira 70 peratus sumber daripada kawasan diluluskan untuk diterokai, sekali gus membolehkan operasinya diteruskan bagi memenuhi permintaan industri pembinaan.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, banyak kelulusan diberikan namun proses untuk memulakan operasi kuari bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan pelaburan besar.
Beliau berkata, terdapat pemohon yang mendapat kelulusan sejak 2009 namun masih belum memulakan operasi.
“Kuari ini sudah berusia 53 tahun. Daripada keluasan kawasan diluluskan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan dipajak kepada BDB Infra Sdn. Bhd., dianggarkan sekitar 30 peratus sudah diambil keluar.
“Masih ada 70 peratus lagi, jadi operasi boleh terus berjalan,” katanya ketika berucap sempena lawatan kerja ke Kuari Bukit Perak yang diuruskan BDB Infra Sdn. Bhd, di sini, hari ini.
Menurut beliau, operasi Kuari Bukit Perak bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan fizikal negeri, malah membuka peluang pekerjaan, merancakkan ekonomi setempat serta memperkukuh industri pembinaan.
“Permintaan terhadap produk batu sentiasa ada, khususnya bagi sektor pembinaan, penyelenggaraan jalan, pembinaan landasan kereta api serta projek penambakan laut.
“Bagaimanapun, persaingan dalam industri menyebabkan pemain industri perlu bijak menguruskan perniagaan, termasuk berdepan persaingan harga,” katanya.
Sanusi berkata, kos untuk memulakan operasi kuari agak besar, dengan sesetengah operator memaklumkan pelaburan permulaan boleh mencecah sekurang-kurangnya RM10 juta.
“Selalunya operator dari luar dipanggil kerana tidak ramai operator yang ada. Jadi, saya ucap tahniah kepada BDB Infra kerana menguruskan dan mengoperasikan sendiri kuari kita,” katanya.
Tambah beliau, BDB Infra memainkan peranan penting sebagai kontraktor jalan raya bertaraf G7 selain menjadi penyedia bahan binaan dan perkhidmatan penyelenggaraan jalan di Kedah.
“BDB bukan sekadar syarikat milik Kerajaan Negeri, tetapi merupakan antara instrumen penting dalam menyokong agenda pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi, selain berpengalaman luas dalam sektor penyelenggaraan jalan negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Sanusi menegaskan Kerajaan Negeri tidak akan mencampuri urusan perniagaan anak syarikat, sebaliknya menyerahkan pengurusan kepada kepakaran masing-masing.
“Kita tidak izinkan mana-mana pihak campur tangan dalam bisnes anak-anak syarikat kerajaan. Buatlah mengikut kepakaran masing-masing dengan telus dan berintegriti supaya kita tidak merosakkan persekitaran yang telah dibina begitu lama,” katanya.
Beliau berharap BDB Infra terus kukuh dan mampu memberi manfaat kepada lebih banyak syarikat kecil yang bergantung kepada aktiviti berkenaan.
Katanya, terdapat 300 vendor mendapatkan perkhidmatan daripada BDB Infra termasuk membeli batu dan premix, sekali gus membuktikan kepentingan syarikat itu dalam membentuk rantaian ekonomi setempat.
“Inilah tujuan kerajaan wujudkan GLC supaya kita boleh bina satu industri yang membolehkan semua orang berkongsi rezeki.
“Kita berkongsi apa yang ada untuk anak-anak syarikat dan syarikat-syarikat kecil, khususnya orang Melayu, supaya dapat bekerja dan belajar disiplin dalam bisnes,” katanya.
Sanusi berkata, penglibatan usahawan Melayu dalam industri perkakasan juga semakin berkembang, termasuk menghasilkan produk seperti konkrit siap bancuh menggunakan bekalan daripada industri tersebut.
Beliau berharap rantaian industri batu di Bukit Perak diuruskan dengan baik dan tidak hanya berorientasikan keuntungan jangka pendek.
“Ramai pihak bergantung kepada industri batu di Bukit Perak ini. Kita pakat jaga bisnes ini dengan baik. Jangan fikir jangka pendek tetapi fikirkan untuk tempoh jangka panjang kerana ramai orang bersandar kepada aktiviti ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan memastikan penggunaan sumber asli seperti bahan kuari dilaksanakan secara bertanggungjawab supaya manfaatnya dapat dinikmati untuk tempoh panjang.
“Rantaian antara PKNK dan BDB Infra perlu dipelihara bagi memastikan manfaat pembangunan syarikat milik kerajaan negeri dapat dikongsi lebih meluas. Jangan putuskan rantaian itu dan pelihara dengan baik. Kita dalam satu keluarga besar di Kedah,” katanya.
Sanusi juga berharap semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing bagi memastikan industri berkenaan terus berkembang dan memberi limpahan manfaat kepada rakyat Kedah.
Post a Comment