Header Ads

test

PEMBANGUNAN KEDAH MESTI SEIRING KELESTARIAN ALAM

Ku Azizah Ku Hamid
SUNGAI PETANI – Kerajaan Negeri Kedah mahu pembangunan negeri terus dipacu tanpa mengorbankan kelestarian alam sekitar, termasuk memastikan sumber air, sungai dan kawasan hutan kekal terpelihara untuk generasi akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Dato’ Mohamad Yusoff@Munir Zakaria berkata, agenda kelestarian alam sekitar menjadi antara keutamaan menerusi Teras 6: Kemampanan Alam Sekitar dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035.
Menurut beliau, teras berkenaan memberi tumpuan kepada lima strategi utama termasuk memperkasakan kawasan hijau Kedah sebagai ‘Natural Sanctuary’ negara, memperkukuh pengurusan risiko bencana dan memelihara kelestarian sumber semula jadi.
“Pembangunan negeri mesti dilaksanakan secara lestari dengan mengambil kira kelangsungan alam sekitar dan kesejahteraan generasi akan datang.
“Alam sekitar bukanlah agenda yang terpisah daripada pembangunan negeri, sebaliknya merupakan sebahagian daripada pembangunan itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Hari Air & Alam Sekitar Negeri Kedah 2026 Daerah Kuala Muda di perkarangan Pejabat Penghulu Sidam Kiri, di sini hari ini.
Mohamad Yusoff berkata, pengurusan air tidak boleh dilihat sekadar memastikan bekalan mencukupi, sebaliknya turut meliputi pemeliharaan sungai, kawalan pencemaran, pengurusan saliran, pengurangan risiko banjir serta pemuliharaan ekosistem sungai.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat khususnya di Kuala Muda supaya menganggap sungai sebagai aset dan khazanah negeri yang perlu dipelihara secara bersama.
Katanya, sungai yang bersih bukan sahaja menyokong biodiversiti dan keseimbangan ekosistem, malah berpotensi menjadi kawasan rekreasi serta memberikan manfaat ekonomi dan sosial kepada masyarakat.
“Pendekatan Kerajaan Negeri dalam agenda alam sekitar turut menekankan pendidikan, kesedaran dan penglibatan komuniti, selain penguatkuasaan serta pembangunan fizikal.
“Perubahan besar terhadap alam sekitar bermula daripada tindakan kecil yang dilakukan secara konsisten, termasuk mengurangkan penggunaan plastik, menanam pokok, menjaga kawasan tadahan air serta memastikan sampah tidak dibuang ke sungai,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata antara inisiatif utama di bawah Teras 6 Pelan Pembangunan Kedah 2035 termasuk pembangunan Geopark Negeri Kedah, menjadikan Langkawi sebagai Pulau Rendah Karbon, pewartaan kawasan Ulu Muda sebagai Taman Negeri serta pelaksanaan projek mengatasi masalah air pasang besar, hakisan pantai dan Rancangan Tebatan Banjir.
“Kita mahu Kedah membangun, ekonomi berkembang, infrastruktur bertambah baik, pelaburan masuk dan peluang pekerjaan diwujudkan.
“Pada masa sama, kita mahu sungai terus mengalir, hutan terus terpelihara, udara terus bersih dan sumber air terus terjamin,” katanya.

 

Tiada ulasan