PERJUANGAN HAPUSKAN JUDI DI KEDAH TIDAK PERNAH TERHENTI
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Perjuangan menghapuskan kegiatan perjudian di Kedah tidak akan terhenti meskipun Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Kerajaan Negeri Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung isu lesen premis perjudian.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, biarpun aktiviti judi tidak dapat dikekang menerusi perundangan, prinsip amar makruf nahi mungkar akan terus dipertahankan dalam aspek pentadbiran dan pemerintahan negeri ini.
“Insya-Allah, perjuangan ini tidak akan bertemu titik noktah di sini.
“Prinsip amar makruf nahi mungkar akan terus dipertahankan dalam aspek berkerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, adalah sesuatu yang ironik apabila usaha Kerajaan Negeri mengamalkan prinsip mencegah kerosakan dalam masyarakat dibantah pihak tertentu sehingga membawa perkara itu ke mahkamah sejak awal.
Katanya, perkara itu amat dikesali kerana masih terdapat pihak yang dilihat tegar mempertahankan kegiatan perjudian di negeri itu.
“Bagaimana ada pihak yang masih tegar mempertahankan jenayah perjudian dalam negeri meskipun usaha Kerajaan menutup keseluruhan premis telah dilaksanakan mengikut garis perundangan yang ada,” katanya.
Ahmad berkata, semua pihak bagaimanapun menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan itu, namun menzahirkan rasa dukacita terhadap keputusan itu yang turut disifatkannya mendukacitakan seluruh rakyat Kedah.
Dalam pada itu, beliau menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Kerajaan Negeri terhadap apa juga tindakan susulan yang wajar diambil susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan.
“Kita menyokong sepenuhnya apa jua tindakan susulan yang wajar diambil oleh Kerajaan Negeri selepas pendirian Mahkamah Persekutuan ini,” katanya.
Pada Rabu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan arahan Kerajaan Kedah adalah ultra vires (di luar bidang kuasa) serta tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam prosiding itu, panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan sebulat suara serta memerintahkan Kerajaan Negeri membayar kos RM50,000.
Rhodzariah berkata, Kerajaan Kedah gagal memenuhi syarat ambang di bawah Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi membolehkan kebenaran merayu diberikan.
Pada 12 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menerusi keputusan majoriti 2-1 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati arahan Kerajaan Kedah untuk tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen perniagaan perjudian adalah tidak berperlembagaan.
Kerajaan Negeri sebelum ini mengumumkan tidak meneruskan pemberian lesen premis operasi perjudian di Kedah berkuat kuasa 1 Januari 2023 berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 8 Disember 2021.
Post a Comment