TAEKWONDO BENTUK GENERASI BERDISIPLIN, KENTAL CABARAN
"BUKAN SEKADAR BURU KEJAYAAN"
Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR - Sukan bukan sekadar gelanggang mencipta juara, sebaliknya menjadi wadah terbaik membentuk generasi berdisiplin, berdaya saing dan teguh jati diri.
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan, Muhammad Radhi Mat Din berkata, penglibatan golongan muda dalam sukan bukan sekadar untuk mengejar kemenangan, malah mampu membentuk karakter dan menjauhkan mereka daripada gejala negatif.
Katanya, seni bela diri seperti taekwondo secara tidak langsung mendidik golongan muda mengenai kepentingan disiplin, kawalan diri, ketahanan mental, keyakinan serta sikap saling menghormati.
"Para atlet perlu ingat bahawa kejayaan tidak bergantung kepada bakat semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen, dedikasi dan pengorbanan berterusan.
"Nilai-nilai inilah yang penting dalam melahirkan lebih ramai atlet berkualiti yang bukan sahaja mampu mengharumkan nama negeri dan negara, malah menjadi generasi muda yang mempunyai jati diri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Taekwondo Remaja Kebangsaan Persatuan Jidokwan Taekwondo Malaysia (MTA) ke-35 dan Jemputan Galaxy ke-4 tahun 2026, di Dewan Kedah Indian Association (KIA), di sini.
Lebih 600 atlet muda dari seluruh negara menyertai kejohanan tersebut pada tahun ini.
Menurut Muhammad Radhi, Kerajaan Negeri Kedah akan terus memperkukuh agenda pembangunan modal insan menerusi penglibatan belia dalam aktiviti sukan, termasuk taekwondo.
Katanya, usaha itu selaras dengan gagasan 'Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua' dan aspirasi 'The Greater Kedah' yang meletakkan pembangunan belia sebagai antara agenda penting negeri.
"Terima kasih kepada ibu bapa, jurulatih serta MTA atas komitmen berterusan dalam membangunkan bakat sukan negara.
"Kejohanan seperti ini bukan sahaja memberi ruang kepada atlet muda menguji kemampuan, tetapi menjadi medan penting untuk mereka membina pengalaman, keyakinan dan semangat kesukanan," katanya.
Beliau berharap kejohanan itu terus menjadi platform mencungkil bakat baharu dalam sukan taekwondo, seterusnya melahirkan lebih ramai atlet yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
"Kejayaan dalam sukan memerlukan usaha konsisten dan pengorbanan, selain sokongan berterusan daripada ibu bapa, jurulatih, persatuan serta kerajaan," katanya.
Post a Comment