DASAR WANITA KEDAH: JADI HALA TUJU PEMBANGUNAN WANITA
Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR – Pelancaran Dasar Wanita Kedah akan menjadi kerangka hala tuju pembangunan wanita secara lebih tersusun dan menyeluruh.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat Perpaduan, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad berkata, Kerajaan Negeri Kedah komited mewujudkan persekitaran yang membolehkan wanita membangunkan potensi, meningkatkan keupayaan serta memperoleh peluang yang lebih luas bagi menyumbang secara bermakna kepada pembangunan keluarga, masyarakat dan negeri.
"Dasar berkenaan dibangunkan hasil proses libat urus dan perbincangan dengan pelbagai pihak bagi memastikan suara, pengalaman, keperluan serta aspirasi wanita Kedah dapat diterjemahkan ke dalam dasar yang relevan dengan cabaran semasa dan masa hadapan," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sempena Majlis Pelancaran Dasar Wanita Kedah dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang berlangsung di Dewan Seri Mentaloon di sini, hari ini.
Katanya, wanita hari ini memainkan pelbagai peranan penting sebagai penjawat awam, usahawan, profesional, pendidik, pemimpin masyarakat dan penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi serta sosial negeri.
“Matlamat kita adalah jelas. Kita mahu mewujudkan suatu persekitaran di Negeri Kedah yang membolehkan wanita membangunkan potensi, meningkatkan keupayaan, memperoleh peluang dan menyumbang secara bermakna kepada keluarga, masyarakat, ekonomi serta pembangunan negeri.
“Sehubungan itu, kita membawa semangat ‘Wanita Berdaya, Kedah Sejahtera’ sebagai prinsip utama dalam memperkasakan wanita dan mengukuhkan kesejahteraan negeri,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri mahu lebih ramai wanita memperoleh peluang meningkatkan kemahiran dan keupayaan ekonomi, memperkukuh institusi keluarga, mendapat akses kepada perlindungan serta sokongan sewajarnya, selain membangunkan potensi kepimpinan wanita dalam pelbagai sektor pembangunan.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan Dasar Wanita Kedah memerlukan kerjasama semua pihak termasuk jabatan dan agensi kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin masyarakat, kaum lelaki dan wanita sendiri sebagai rakan utama dalam menjayakan agenda tersebut.
Jelasnya lagi, pelancaran dasar itu bukan noktah kepada perjalanan memperkasakan wanita, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada pelaksanaan pelbagai tindakan, program dan peluang yang mampu melahirkan wanita lebih berdaya serta menyumbang kepada pembentukan masyarakat dan negeri yang lebih sejahtera.
Post a Comment