Header Ads

test

DUNIA PERMOTORAN BUKAN LAGI DIDOMINASI LELAKI

 

"PROMOSIKAN BUDAYA KONVOI PATUH SYARIAH"
Ku Azizah Ku Hamid
YAN - Dunia permotoran bukan lagi didominasi lelaki, sebaliknya golongan wanita juga menjadikan aktiviti itu sebagai riadah.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato' Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, penglibatan wanita dalam program permotoran membuktikan golongan itu kini semakin aktif dalam pelbagai bidang yang sebelum ini lazimnya didominasi lelaki.
Menurut beliau, ia bukan sahaja menjadi medium memperkasakan wanita untuk menceburi aktiviti permotoran, malah berkongsi idea menunggang secara selamat, berhemah dan patuh syariah.
"Wanita hari ini bukan sahaja memainkan peranan penting dalam institusi keluarga, malah turut berada di barisan hadapan dalam sektor pekerjaan, perniagaan, pendidikan, kesihatan, keusahawanan, kesukarelawanan dan pembangunan masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali merasmikan Program Ride Santai Kembara Insan Merdeka Aspirasi Wanita Insan Sejahtera (KIMANIS), yang menghimpunkan lebih 150 wanita dari seluruh Kedah.
Program itu diadakan sempena Sambutan Hari Malaysia di pekarangan Masjid Terapung Yan, di sini.
Mohd Azam berkata, wanita merupakan antara kekuatan utama dalam pembangunan negeri kerana mereka bukan sahaja menjadi tulang belakang keluarga, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kemajuan komuniti.
“Apabila wanita diperkasakan, keluarga akan menjadi lebih kukuh, seterusnya melahirkan masyarakat yang sejahtera serta menyumbang kepada kemajuan negeri dan negara,” katanya.
Beliau berharap KIMANIS dapat menjadi simbol kesediaan wanita Kedah untuk terus aktif dalam masyarakat, selain menampilkan imej wanita negeri ini yang aktif dan berdaya saing.
Sementara itu, Pengarah Program KIMANIS, Norhafiza Fadzil berkata, program tersebut bukan sahaja memupuk gaya hidup sihat, pada masa sama meningkatkan kesedaran wanita mengenai keselamatan jalan raya serta memperkukuh jaringan antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.
“Kita mahu beri ruang kepada wanita turun padang dalam bidang permotoran yang lazimnya didominasi lelaki, selain promosikan budaya konvoi secara patuh syariah.
“Program ini terbuka kepada wanita Kedah yang memiliki pelbagai jenis motosikal tanpa mengira kapasiti enjin, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai wanita menyertai aktiviti permotoran secara selamat dan beretika,” katanya.

Tiada ulasan