Header Ads

test

EKSPLOITASI WANITA MASIH BERLAKU, WANITA PERLU BIJAK TAMPILKAN SOLUSI

 

Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Eksploitasi terhadap wanita masih berlaku sehingga kini dan dijangka berdepan cabaran lebih sengit pada masa depan.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keadaan itu memerlukan wanita khususnya golongan berilmu dan berpendidikan tinggi untuk bersama-sama mencari penyelesaian serta membentuk pendekatan dan budaya baharu dalam menghadapi cabaran tersebut.
“Eksploitasi wanita masih berlaku, belum selesai lagi. Sekarang pun masih berlaku. Lebih parah lagi berbanding dulu.
“Jadi cabaran pada masa depan, saya jangkakan akan lebih sengit. Lebih parah lagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dasar Wanita Kedah di Dewan Seri Mentaloon, di sini, hari ini.
Menurut beliau, golongan wanita yang berpendidikan dan berilmu perlu dimanfaatkan untuk membentuk budi daya baharu dalam menghadapi perubahan serta cabaran kehidupan.
“Oleh kerana ramai anak-anak perempuan kita kini menjadi bijak pandai, cerdik, berilmu, maka mari kita berpakat-pakat sesama kita, anak-anak sekalian, ibu-ibu, kakak-kakak semua, mencari solusi, mencipta budi daya baharu untuk hadapi semua cabaran ini, membentuk kebudayaan baharu pula,” katanya.
Sanusi berkata, isu eksploitasi wanita bukan perkara baharu kerana ia pernah menjadi perbincangan di peringkat global dan nasional sejak 1990-an, termasuk penggunaan imej wanita dalam pemasaran pelbagai produk yang tidak berkaitan dengan golongan berkenaan.
“Semua model, untuk pemasaran barang-barang jualan seperti pinggan mangkuk, jual kereta, jual motor, bateri, semua guna wanita tetapi produk untuk lelaki. Sudah bertahun dulu lagi kita bercakap tentang eksploitasi wanita ini,” ujarnya.
Beliau berkata, budaya itu terbentuk daripada budi dan daya manusia dalam menghadapi cabaran kehidupan berdasarkan keadaan serta persekitaran masing-masing.
“Apakah budi daya yang patut wujud dalam kalangan wanita hari ini?” katanya, sambil menjelaskan persoalan itu antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam membentuk dasar yang bersesuaian dengan keperluan semasa.
Menurutnya, Dasar Wanita Kedah yang pertama kali diwujudkan itu dirangka berdasarkan kajian, tinjauan dan pengumpulan data empirikal dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM), sebelum dirumus dan dikukuhkan sebagai dasar Kerajaan Negeri.
Beliau berkata, dasar tersebut tidak seharusnya bersifat statik, sebaliknya perlu mengalami anjakan dari semasa ke semasa berdasarkan perubahan dan cabaran yang dihadapi wanita mahupun lelaki.
“Saya percaya kepada pengalaman kita, dasar ini adalah budi daya untuk menghadapi cabaran yang akan berubah. Sama dengan dasar ini, turut akan berubah dengan cabaran akan datang yang lebih besar rencamnya.
“Maka dasar kita ini tidak statik. Patut berlaku anjakan-anjakan berdasarkan cabaran semasa,” katanya.
Sanusi berkata, Dasar Wanita Kedah merupakan langkah penting Kerajaan Negeri dalam usaha memartabatkan wanita tanpa mengira kaum dan latar belakang, khususnya dalam sektor ekonomi dan sosial.
“Dalam menelusuri zaman mencabar, usaha memartabatkan wanita di negeri ini memerlukan usaha bersepadu bagi menjayakan perancangan besar Kerajaan Negeri.
“Untuk itu, Dasar Wanita Kedah akan menjadi dokumen rasmi sebagai panduan dan strategi untuk merangka pelbagai inisiatif yang lebih terfokus, efektif dan berimpak tinggi,” katanya.
Tambah beliau, matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan keberdayaan dan kesejahteraan wanita Kedah supaya mereka bukan sahaja mampu berdikari serta berdaya saing, malah berperanan aktif sebagai rakan strategik dan agen transformatif dalam pembangunan keluarga, komuniti serta negeri.

Tiada ulasan