Header Ads

test

PESTA BUKU KEDAH 2026 TAMPIL KELAINAN

 

GABUNG BUDAYA MEMBACA, KOMUNITI DAN EKONOMI
Ku Azizah Ku Hamid
SUNGAI PETANI - Pesta Buku Kedah 2026 tampil dengan pendekatan baharu apabila tidak lagi tertumpu kepada jualan dan pameran buku semata-mata, sebaliknya turut menggabungkan elemen komuniti, seni, muzik, kreativiti serta ekonomi setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Perpaduan, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad berkata, pendekatan itu bertujuan menjadikan pesta buku sebagai ruang komuniti lebih terbuka, santai dan dekat dengan kehidupan masyarakat.
Menurut beliau, penganjuran kali ini turut menyaksikan kerjasama dengan acara komuniti dan bazar mingguan yang mengetengahkan usahawan serta bakat tempatan, iaitu Lorong Pekan.
“Kita mahu pesta buku tidak hanya dalam ruang pameran dan jualan buku semata-mata, sebaliknya menjadi ruang komuniti yang lebih terbuka, santai dan lebih dekat dengan kehidupan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Buku Kedah 2026 di Village Mall, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerjasama itu membolehkan pengunjung bukan sahaja mendapatkan bahan bacaan, malah menikmati makanan, hasil tangan usahawan tempatan serta menyaksikan persembahan bakat kreatif.
Katanya, pendekatan berkenaan menunjukkan budaya membaca boleh bergerak seiring dengan komuniti dan ekonomi setempat kerana budaya membaca tidak seharusnya terpisah daripada kehidupan masyarakat.
“Kita mahu Pesta Buku Kedah menjadi tempat yang bukan sahaja mempertemukan pembaca dengan buku, tetapi turut mempertemukan masyarakat dengan masyarakat, usahawan dengan pelanggan, seniman dengan penonton dan generasi muda dengan warisan budaya,” ujarnya.
Pada majlis sama, turut dilancarkan Buku Historiografi Nusantara yang mempunyai makna besar dalam usaha memastikan masyarakat tidak melupakan akar sejarah dan warisan yang membentuk identiti mereka.
Menurut beliau, sejarah bukan sekadar kisah masa lalu, sebaliknya menjadi cermin untuk masyarakat memahami siapa mereka pada hari ini dan hala tuju yang ingin dicapai pada masa hadapan.
"Semoga Pesta Buku Kedah 2026 terus berkembang sebagai platform yang menghidupkan budaya membaca kalangan masyarakat serta membina negeri yang bukan sahaja maju dari aspek pembangunan, malah kaya dengan ilmu dan nilai budaya," ujarnya.

Tiada ulasan