HARI CUCI MALAYSIA PUPUK BUDAYA BERSIH, CEGAH PENYAKIT
Ku Azizah Ku Hamid
SIK - Hari Cuci Malaysia (HCM) bukan sekadar program gotong-royong, sebaliknya perlu menjadi pemangkin kepada pembentukan budaya kebersihan dan gaya hidup sihat secara berterusan dalam masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, kebersihan alam sekitar dan kesihatan awam saling berkait kerana persekitaran kotor, parit tersumbat serta pengurusan sisa tidak teratur boleh menjadi punca pembiakan vektor penyakit.
Menurut beliau, penglibatan masyarakat daripada pelbagai lapisan dalam HCM 2026 membuktikan komitmen bersama untuk memastikan kebersihan persekitaran dan kelestarian alam sekitar terus diberi keutamaan.
“Usaha membersihkan sungai, parit dan kawasan rekreasi awam penting bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes sekali gus membantu mengurangkan risiko jangkitan penyakit dalam komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Hari Cuci Malaysia Peringkat Negeri Kedah Tahun 2026 di Taman Eko Rimba Perangin, di sini.
HCM 2026 yang disertai seluruh negara menyasarkan penyertaan 200,000 peserta, selain menjadi sebahagian daripada usaha mencipta rekod baharu dalam The Malaysia Book of Records (MBOR).
Mansor berkata, di Kedah, program berkenaan melibatkan kakitangan kerajaan, pelajar Kolej KEDA Sik, wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), Majlis Ketua Kampung, persatuan penduduk, pertubuhan sukarelawan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta agensi kerajaan negeri.
Katanya, pelbagai aktiviti amalan kebersihan dilaksanakan secara menyeluruh di kawasan Taman Eko Rimba Perangin, termasuk gotong-royong membersihkan mini taman permainan, laluan pejalan kaki dan sekatan di sepanjang sungai.
“Kerja-kerja mengecat struktur binaan dan fasiliti awam di persisiran sungai turut dilaksanakan, selain penanaman pokok teduhan bagi memelihara kelestarian alam sekitar.
“Turut diadakan Program Trash to Cash dan taklimat kitar semula bagi menggalakkan amalan ekonomi kitaran (circular economy) dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Mansor berkata, semangat gotong-royong dan kebersamaan yang ditunjukkan menerusi HCM perlu diteruskan serta diperluaskan ke seluruh daerah dan kampung di Kedah.
“Kebersihan tidak seharusnya menjadi amalan sehari sahaja sempena Hari Cuci Malaysia. Ia perlu dijadikan satu budaya dan gaya hidup yang kekal dalam sanubari setiap rakyat Kedah,” katanya.
Post a Comment