Header Ads

test

PELABURAN RM1 BILION DI GURUN BUKA LEBIH BANYAK PELUANG KERJAYA ANAK KEDAH



Ku Azizah Ku Hamid

GURUN - Pelaburan bernilai kira-kira RM1 bilion oleh LB Advanced Material Asia Sdn. Bhd. di Gurun Heavy Industrial Park dijangka membuka sekitar 300 peluang pekerjaan, termasuk kira-kira 50 jawatan berkemahiran tinggi, sekali gus memberi lebih banyak ruang kerjaya kepada anak Kedah.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi & Inovasi, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah, projek yang dibangunkan di atas tanah seluas kira-kira 60.1 ekar itu dijangka siap dan mula beroperasi sekitar Mei 2027 berdasarkan jadual semasa syarikat.

"Selain peluang pekerjaan, projek tersebut turut membuka ruang kepada pelaksanaan latihan industri serta kerjasama dengan institusi pengajian tinggi, sekali gus memberi peluang kepada bakat tempatan untuk memperoleh pengalaman, menguasai teknologi dan membina kerjaya dalam sektor industri berkemajuan tinggi," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pecah Tanah LB Advanced Material Asia Sdn. Bhd di Gurun Heavy Industrial Park.

Jelasnya, kehadiran pelaburan berkenaan juga dijangka memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat menerusi penglibatan syarikat tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam rantaian bekalan projek.

Tambah beliau, antara ruang yang boleh diterokai termasuk pembekalan bahan industri, logistik serta pelbagai perkhidmatan sokongan yang berpotensi memberi manfaat kepada usahawan di Gurun dan kawasan sekitarnya.

"LB Group yang mempunyai pengalaman dalam industri sejak 1955 serta membekalkan produk kepada lebih 1,500 pelanggan di seluruh dunia turut membawa kepakaran pembuatan, teknologi dan keupayaan penyelidikan dan pembangunan yang berpotensi menyumbang kepada pengukuhan ekosistem industri Kedah," katanya.

Haim Hilman berkata, pelaburan itu selari dengan usaha Kerajaan Negeri menerusi agenda The Greater Kedah dalam memperluas sektor industri bernilai tinggi, membangunkan bakat tempatan serta memastikan pertumbuhan ekonomi negeri turut diterjemahkan kepada peluang yang lebih luas untuk rakyat.
 

Tiada ulasan