TANGGUH PENGAJIAN DEMI BAPA YANG DIUJI KANSER
Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR - Murninya kasih seorang anak terhadap bapa yang diuji penyakit kronik apabila Siti Nurdiana Mohamad Bistawi, 20, sanggup menangguhkan pengajian demi menjaga bapanya yang menghidap kanser paru-paru tahap empat dan kehilangan deria penglihatan.
Lebih menyentuh hati, keputusan penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur itu dibuat sebagai tanda membalas jasa bapanya, Mohamad Bistawi Bakar, 50, yang membesarkannya seorang diri sejak kematian ibunya pada 2009.
Menurut Siti Nurdiana, bapanya disahkan menghidap kanser paru-paru pada Jun lalu dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Alor Setar.
Katanya, bapanya kini dijaga di rumah neneknya bagi memudahkan pemantauan bersama bapa saudaranya, selain beliau sendiri mengambil tanggungjawab menjaga bapanya sepanjang cuti semester.
“Saya mengambil keputusan untuk tangguhkan pengajian pada semester tiga yang akan datang semata-mata untuk menjaga ayah.
“Hanya dia satu-satunya harta berharga yang saya ada sekarang.
"Ayah sanggup berkorban membesarkan saya dulu, kini giliran saya pula berkorban untuk menjaga ayah,” katanya.
Siti Nurdiana berkata, beliau merupakan anak tunggal dan selepas kematian ibunya akibat penyakit buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi, bapanya mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab membesarkan dirinya.
“Sejak itu, ayah yang membesarkan saya dan menjaga saya sehingga berjaya melangkah ke universiti.
“Masa ayah sihat, dia bekerja sebagai pembuat pasu di Gunung Keriang dengan pendapatan sekitar RM500.
“Dengan wang itulah dia berjaya membesarkan saya hingga saya berjaya sekarang. Insya-Allah, kalau keadaan ayah makin baik, saya akan sambung pengajian pada semester tiga,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini ketika kembali ke kampus, beliau meminta bantuan jiran untuk memantau keadaan bapanya, namun keadaan kesihatan bapanya semakin merosot sehingga kerap dimasukkan ke wad.
“Disebabkan ayah makin kerap dimasukkan ke wad, saya mengambil keputusan untuk pulang dan menjaganya sendiri.
“Ayah memakai lampin pakai buang dan perlu ditukar dua atau tiga kali sehari. Saya gunakan bantuan kewangan bulanan yang diterima ayah untuk membeli lampin serta barangan keperluan ayah,” katanya.
Katanya, cabaran terbesar sepanjang menjaga bapanya ialah dari segi kewangan dan masa, sehingga menyebabkan beliau terpaksa menangguhkan hasrat untuk meneruskan pengajian.
“Alhamdulillah, selepas maklumat berkenaan keadaan ayah diketahui ramai, ada beberapa sumbangan daripada mereka yang datang menziarah.
“Sumbangan itu sedikit sebanyak membantu saya membeli barangan keperluan ayah,” katanya.
Dalam pada itu, Siti Nurdiana berpesan kepada individu yang berdepan situasi sepertinya supaya tidak terus menganggap masalah dihadapi sebagai penghalang meneruskan pengajian.
Katanya, menjaga ayah menjadi keutamaan buat masa ini, namun beliau percaya akan ada rezeki dan peluang untuk menyambung pengajian pada masa akan datang dengan izin Allah SWT.
Kisah Siti Nurdiana itu dikongsikan ketika dia menerima kunjungan prihatin daripada wakil Pejabat Menteri Besar Kedah.
Kunjungan itu diwakili Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Salmy Anas Ahmad dan Norhafidza Fadzil, yang turut disertai Pengarah Ameerah Kedah, Nurul Amirah Nazhari.
Sementara itu, Norhafidza berkata, pemantauan susulan terhadap keadaan Siti Nurdiana dan bapanya akan terus dilakukan bagi memastikan kebajikan keluarga itu terus terjaga.
Dalam kunjungan tersebut, sumbangan wang tunai disampaikan kepada Siti Nurdiana bagi membantu meringankan beban menguruskan bapanya.
Post a Comment