Header Ads

test

“IMPIAN SAYA BELUM TERTUNAI” - SANUSI

 

Roslinda Hashim
ALOR SETAR - “Impian saya belum tertunai.”
Demikian luahan hati Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung dua perkara yang belum dapat diselesaikan sepanjang enam tahun menerajui pentadbiran negeri, sehingga mengganggu fikirannya sejak kebelakangan ini.
Antara impian paling dekat di hatinya, adalah untuk memastikan rakyat Kedah yang selama ini menumpang di tanah orang, menetap di tanah rizab atau rumah daif untuk memiliki rumah atau tanah sendiri yang boleh diwariskan kepada anak cucu.
Sanusi berkata, beliau mahu memutuskan kitaran kehidupan rakyat yang sejak puluhan tahun tinggal di tanah tanpa geran, sebelum masalah itu diwarisi generasi seterusnya.
“Saya berjanji pada diri untuk orang-orang Melayu di bandar-bandar yang tidak ada rumah, duduk di rumah-rumah papan yang menumpang tanah orang.
“Saya ada cita-cita, ini mesti ditamatkan. Mereka mesti ada tanah untuk dirikan rumah dan rumah yang mereka tinggalkan itu apabila menutup mata menjadi rumah pusaka.
“Sekarang ini mereka hidup, beranak dan mati di situ. Tetapi harta yang ditinggalkan tidak dapat diwarisi kerana tanah itu bukan milik mereka, tak ada geran, biarpun menetap lama puluhan tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pengurusan Kewangan Peringkat Negeri Kedah bertemakan ‘Pendigitalan Pengurusan Kewangan: Hala Tuju, Peluang dan Cabaran’, di sini, hari ini.
Menurut Sanusi, ketiadaan rumah dan tanah untuk diwarisi bukan sekadar masalah tempat tinggal, malah boleh menyebabkan institusi keluarga semakin longgar apabila anak-anak terpaksa membawa haluan masing-masing.
Katanya, apabila tuan tanah meminta mereka berpindah, rumah yang menjadi tempat berkumpul keluarga terpaksa ditinggalkan, sekali gus menyebabkan hubungan adik-beradik dan generasi keluarga semakin terpisah.
“Struktur keluarga akan longgar, lama-lama hidup sendiri-sendiri. Semua berpunca kerana tidak ada tanah, tidak memiliki rumah untuk keluarga bersatu.
“Untuk mengukuhkan institusi keluarga, hubungan adik-beradik, perlu ada keupayaan memiliki dan mendiami tanah itu, saya bercita-cita untuk menyelesaikan hal itu.
“Biar generasi awal hingga cucu cicit ada tempat untuk kembali. Ada rumah yang boleh menjadi pusaka dan menjadi titik pertemuan keluarga,” katanya.
Beliau berkata, usaha menangani masalah itu sudah dimulakan menerusi pembangunan Kampung Sejahtera, yang dilancarkan di Perik dan menyaksikan rumah sudah mula dibina.
“Tak banyak, tetapi kita sudah mula. Ada daerah baru bermula. Golongan itulah yang akan kita tempatkan di situ untuk ada kehidupan baharu. Saya harap cita-cita ini akan berterusan dan menjadi nyata,” katanya.
Lebih menyentuh hati, Sanusi memaklumkan mengenai 30 keluarga yang tinggal di kawasan rizab sungai di Baling yang terkesan dengan projek tebatan banjir, tiada tempat dituju selepas mereka perlu berpindah.
Katanya, jumlah itu hanyalah sebahagian kecil daripada ribuan keluarga lain yang masih menanti penyelesaian berkaitan tempat tinggal dan pemilikan tanah.
“Bagilah mereka duduk, meneruskan institusi keluarga di mana yang boleh kita selesaikan. Mungkin tidak besarlah cita-cita ini. Tetapi ia berlarutan berpuluh-puluh tahun. Kena ada cita-cita untuk selesaikan,” katanya.
Dalam pada itu, perkara yang turut menyentuh hatinya berkenaan nasib pelajar miskin dan anak yatim yang berdepan kesukaran meneruskan pengajian ke IPT.
Katanya, Kerajaan Negeri menghidupkan semula Tabung Tunku Mahmud dan hasil sumbangan seorang dermawan, RM12 juta disasarkan untuk membantu pelajar terlibat.
“Kerajaan Negeri belanjakan RM3 juta setahun untuk bantuan kemasukan universiti kepada pelajar miskin dan anak yatim.
“Kemudian ramai yang mengharapkan menyebabkan ia dibuka kepada semua pelajar, maka jumlah bantuan dikurangkan agar lebih ramai beroleh manfaat. Sebahagiannya telah selesai, tetapi belum selesai sepenuhnya,” katanya.
Dalam pada itu, Sanusi mengakui selepas enam tahun menjadi Menteri Besar, beliau masih memikirkan sasaran yang belum menunjukkan kesan seperti diharapkan.
“Saya jadi MB sudah enam tahun, ia tempoh yang panjang.
“Saya ada KPI. Saya tanda satu-satu yang telah saya capai, yang sedang dalam proses, yang telah selesai, yang belum selesai dan yang belum mula.
“Tiga hari ini saya tak dapat lena kerana banyak yang belum nampak kesannya. Ada aspek belum memuaskan hati,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera Kerajaan Negeri memperkemaskan pentadbiran dan mempercepatkan urusan supaya masalah rakyat dapat diselesaikan lebih pantas.
“Kita pedulikan kehidupan sebenar yang menanti di luar, bukan di pejabat. Di pejabat kita mengurus saja. Penerima kepada pengurusan kita berada di luar, menanti apakah tindakan kita untuk menyelesaikan masalah mereka.
“Saya harap dengan pentadbiran kewangan yang semakin diperkemaskan, kita jimat masa dan sumber. Kita uruskan betul-betul. Mari kita pakat tolong selesaikan masalah rakyat dan saya harapkan sokongan semua untuk laksanakan misi ini,” katanya.

Tiada ulasan