MANSUH SYARAT 30 PERATUS: PENDIDIKAN BUKAN SEKTOR KOMERSIAL, PELIHARA EKUITI BUMIPUTERA
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Pendidikan tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai sektor komersial kerana ia turut mempunyai kepentingan strategik dalam pembentukan modal insan dan ekonomi negara.
Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, sehubungan itu keputusan kerajaan memansuhkan syarat minimum 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi syarikat yang mengendalikan institusi pendidikan swasta (IPS) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) perlu diperjelas secara tuntas.
Beliau berkata, pemansuhan syarat berkenaan menimbulkan persoalan mengenai hala tuju penyertaan dan pemilikan Bumiputera dalam sektor pendidikan swasta, khususnya ketika kerajaan sendiri menetapkan agenda memperkukuh pemilikan ekonomi Bumiputera menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
“Pendidikan bukan sekadar sektor komersial. Ia adalah sektor strategik yang membentuk modal insan dan mempunyai nilai ekonomi yang besar.
“Justeru, pemilikan Bumiputera dalam sektor ini sepatutnya diperkukuh dan diperluaskan, bukannya dikurangkan,” katanya.
Ahmad Tarmizi menegaskan beliau tidak menolak keterbukaan dan persaingan dalam sektor pendidikan swasta, namun keterbukaan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghapuskan mekanisme yang memastikan penyertaan dan pemilikan Bumiputera.
Tambah beliau, pemansuhan itu juga tidak selari dengan agenda memperkukuh pemilikan ekonomi Bumiputera, apabila kerajaan sendiri melalui PuTERA35 meletakkan agenda ‘Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan Bumiputera yang lebih bermakna’, dalam meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera.
“Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kerajaan merekodkan pemilikan ekuiti korporat Bumiputera berdasarkan nilai pasaran pada 2019 hanya sekitar 17.2 peratus, masih jauh daripada sasaran 30 peratus.
“Jika sasaran pemilikan Bumiputera masih belum dicapai, mengapa pula mekanisme 30 peratus dalam sektor pendidikan swasta dimansuhkan?” soal beliau.
Dalam pada itu, katanya, isu tersebut juga perlu dilihat secara serius kerana ia menimbulkan persoalan mengenai penyelarasan dasar antara kementerian.
“KPM sebelum ini menyatakan keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), namun MITI kemudiannya jelaskan kementerian itu tidak mempunyai makluman mengenai penyelarasan tersebut.
“MITI juga menegaskan dasar pemilikan ekuiti Bumiputera berada di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi.
“Persoalannya, siapa sebenarnya yang membuat keputusan ini dan apakah proses penyelarasan dasar yang telah dilalui?” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta Kerajaan Persekutuan menjelaskan secara terperinci kajian dan impak ekonomi yang dibuat sebelum keputusan berkenaan diambil, termasuk sama ada Kementerian Ekonomi memberikan persetujuan rasmi.
“Jika benar terdapat perbincangan dengan MITI, bilakah ia berlaku dan apakah hasilnya serta apakah mekanisme baharu bagi memastikan pemilikan Bumiputera tidak terus terhakis,” katanya.
Ahmad Tarmizi turut mahukan kepastian sama ada keputusan tersebut akan dikaji semula selaras dengan matlamat PuTERA35, setelah ia mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak.
“Kerajaan tidak boleh mengangkat agenda meningkatkan pemilikan Bumiputera melalui PuTERA35, dan pada masa sama memansuhkan mekanisme pemilikan Bumiputera dalam sektor strategik tanpa penjelasan tuntas.
“Jika matlamatnya benar-benar untuk memperkukuh ekonomi Bumiputera, maka dasar kerajaan mestilah konsisten, iaitu pemilikan Bumiputera perlu ditambah, diperkasa dan diperluaskan, bukan dimansuhkan,” jelas beliau.
Pada 21 September, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak lagi ditetapkan sebagai syarat bagi syarikat sendirian berhad yang mengoperasikan IPS di bawah kementerian itu.
Post a Comment