Header Ads

test

TIADA KES RAYUAN PERANCANGAN PEMBANGUNAN DIREKODKAN SEJAK DUA TAHUN LALU

Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Tiada sebarang proses rayuan terhadap keputusan perancangan pembangunan di Kedah direkodkan dalam tempoh dua tahun berturut-turut, sekali gus memberi gambaran bahawa keputusan yang dibuat pihak berkuasa tempatan diterima baik oleh pihak berkepentingan.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keadaan itu juga menunjukkan tiada pihak yang terkilan atau tidak berpuas hati terhadap keputusan perancangan yang dibuat, walaupun banyak kertas cadangan pembangunan diluluskan dalam tempoh berkenaan.
“Dua tahun berturut-turut tiada proses rayuan. Ini memberi gambaran tiada kes yang tidak berpuas hati, biarpun kita banyak meluluskan kertas cadangan pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Rayuan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai sembilan individu berwibawa dan berpengalaman dilantik menganggotai Lembaga Rayuan Negeri Kedah bagi tempoh 2026 hingga 2029.
Mereka terdiri daripada golongan profesional termasuk peguam, pegawai perancang bandar serta bekas pegawai kerajaan yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang berkaitan.
Sanusi berkata, mekanisme rayuan amat penting dalam memastikan pihak yang terkilan atau tidak berpuas hati terhadap sesuatu keputusan perancangan mempunyai ruang untuk mendapatkan pertimbangan sewajarnya.
Katanya, pembangunan negeri dijangka akan terus berkembang seiring dengan pertambahan penduduk, peningkatan aktiviti ekonomi dan keperluan terhadap infrastruktur.
“Dalam keadaan ini, pelbagai keputusan perancangan perlu dibuat bagi mengimbangi kepentingan pembangunan dengan kepentingan rakyat dan alam sekitar,” katanya.
Menurut beliau, Lembaga Rayuan bersama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa serta pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai peranan penting dalam memastikan keseimbangan antara kepentingan pembangunan dengan kepentingan rakyat terus dipelihara.
Sanusi memaklumkan, Kedah masih mempunyai banyak kawasan yang berpotensi dibangunkan dan berharap pembangunan dapat diteruskan secara terancang demi manfaat negeri dan rakyat.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan Ahli-Ahli Lembaga Rayuan yang menerima watikah pelantikan supaya melihat tanggungjawab itu sebagai amanah besar dalam memastikan sistem perancangan pembangunan negeri berjalan secara adil, telus dan berintegriti.
“Saya berharap Ahli-Ahli Lembaga yang dilantik dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan penuh amanah, bebas, objektif dan profesional, serta sentiasa berpegang kepada peruntukan undang-undang dan kepentingan awam.
“Laksanakan amanah ini sebaik-baiknya. Jadikan integriti, keadilan dan kepentingan awam sebagai asas dalam setiap pertimbangan dan keputusan,” katanya.
AHLI LEMBAGA RAYUAN NEGERI KEDAH 2026-2029:
Pengerusi
Maznah Abd Aziz (Peguam)
Timbalan Pengerusi
Hasnifalina Hasanudin (Peguam)
Ahli Lembaga Rayuan:
Dato’ Mohd Yusri Md. Daud (Mantan Datuk Bandar Alor Setar)
Dato’ Mohd Shahadan Abdullah (Mantan Pengarah Tanah dan Galian Kedah)
Dato’ Fathullah Suhaimi Ismail (Mantan Pegawai Daerah Padang Terap)
Aishah Abdullah (Pegawai Perancang Bandar)
Nazliyah Mansor (Peguam)
Ai Cha Ran a/l Din Chee Ron (Peguam)
Chong Siew Ean (Peguam)

Tiada ulasan