TIDAK WAJAR GUGURKAN SYARAT 30 PERATUS TANPA MEKANISME BAHARU
“DIBIMBANGI JEJAS PENGUASAAN EKONOMI BUMIPUTERA”
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan perlu menjelaskan mekanisme gantian bagi memperkukuh pemilikan dan penguasaan ekonomi Bumiputera susulan keputusan menggugurkan syarat sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi syarikat yang mengendalikan Institusi Pendidikan Swasta (IPS).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, keputusan itu tidak seharusnya hanya disusuli kenyataan bahawa ruang penyertaan dalam sektor pendidikan perlu kekal terbuka kepada semua.
Sebaliknya, katanya, kerajaan perlu menjelaskan bagaimana sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus menjelang 2035 menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dapat dicapai sekiranya mekanisme sedia ada digugurkan tanpa pendekatan gantian yang jelas.
“Jika kerajaan mahu capai sasaran 30 peratus melalui PuTERA35, setiap kementerian sepatutnya mempunyai mekanisme yang jelas untuk bantu mencapai sasaran tersebut.
“Kerajaan perlu jelaskan apakah mekanisme gantian untuk meningkatkan pemilikan dan penguasaan Bumiputera dalam sektor pendidikan swasta,” katanya dalam kenyataan.
Pada 21 September, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak lagi ditetapkan sebagai syarat bagi syarikat sendirian berhad yang mengoperasikan IPS di bawah kementerian itu.
Mohd Ashraf Mustaqim menegaskan, pemilikan dan penguasaan ekonomi Bumiputera mesti terus diperkukuhkan, selaras dengan aspirasi PuTERA35 yang antaranya memberi penekanan terhadap penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera yang lebih bermakna.
“Persoalan lebih besar ialah bagaimana memastikan pemilikan ekuiti itu diterjemahkan kepada penguasaan ekonomi sebenar dan bukan sekadar pemilikan di atas kertas,” katanya.
Menurut beliau, data SME Corporation Malaysia dan Centre for Entrepreneur Development and Research (CEDAR) 2015 menunjukkan lebih 50 peratus kontrak daripada kira-kira RM1.1 trilion perolehan kerajaan bagi pembangunan, bekalan dan perkhidmatan sepanjang Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK7) hingga RMK10 diberikan kepada Bumiputera.
Namun katanya, sumbangan PKS Bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2015 masih kurang daripada sembilan peratus.
“Sepatutnya ini memaksa kita bermuhasabah. Selepas berpuluh tahun ada kuota, kontrak, geran dan pelbagai bentuk bantuan, penguasaan ekonomi Bumiputera masih tidak sepadan dengan jumlah sumber yang diperuntukkan?” soal beliau.
Menurutnya, dokumen Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 turut mengingatkan bahawa agenda Bumiputera berdepan isu rasuah dan pemesongan pengagihan dalam rantaian bekalan daripada tujuan asal untuk memperbaiki kedudukan ekonomi Bumiputera.
“Budaya ‘Ali Baba’ perlu dihentikan bagi memastikan pemilikan Bumiputera benar-benar membawa kepada penguasaan modal, operasi dan keuntungan.
“Tidak ada maruahnya jika nama Melayu atau Bumiputera hanya pada sijil, lesen dan pegangan saham, tetapi modal daripada pihak lain, operasi dikawal pihak lain dan keuntungan sebenar akhirnya tidak membina kekuatan ekonomi Bumiputera,” katanya.
Mohd Ashraf Mustaqim turut mencadangkan agar kerajaan menggunakan pendekatan lebih membina dengan melahirkan pengusaha Bumiputera sendiri, khususnya dalam sektor pendidikan.
“Kenal pasti guru, tutor, graduan pendidikan serta anak-anak Bumiputera berpotensi daripada kelompok B40 dan M40, berikan latihan keusahawanan, modal permulaan, pembiayaan mudah, dana padanan, bimbingan pengurusan serta bantuan mendapatkan premis, lesen dan teknologi.
“Jangan sekadar beri mereka 30 peratus saham dalam pusat tuisyen milik orang lain. Bantu mereka bina pusat tuisyen sendiri,” katanya.
Tegas beliau, pendekatan itu lebih dekat dengan matlamat PuTERA35 yang menekankan pengukuhan pembiayaan ekuiti, dana pemangkin, akses kepada pembiayaan alternatif, pertambahan syarikat Bumiputera serta pegangan ekuiti yang disertai penguasaan efektif.
Beliau turut mencadangkan mekanisme sama diperluaskan kepada syarikat pemula Bumiputera dalam sektor lain dengan memastikan bantuan diberikan secara telus, pemunya benefisial dikenal pasti, dana disalurkan berdasarkan pencapaian serta diwujudkan tempoh bantuan dan graduasi.
“Saya mahu sasaran 30 peratus itu dicapai. Bumiputera harus mampu pergi lebih jauh. Biarlah ia dicapai dengan maruah, kemampuan dan penguasaan sebenar.
“Bukan 30 peratus kerana meminjam nama, menjadi proksi atau hubungan politik. Sebaliknya bina modal, ilmu, usahawan dan rantaian bekalan serta pemilikan.
“Jika kerajaan benar-benar serius bangunkan PuTERA35, maka bina mekanisme lebih baik, bukan sekadar gugurkan syarat 30 peratus,” katanya.
Post a Comment