669 MENARA TELEKOMUNIKASI TIDAK BERDAFTAR DIKESAN DI KEDAH
Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR – Sebanyak 669 menara telekomunikasi tidak berdaftar dikenal pasti di seluruh Kedah, sekali gus menyebabkan kebocoran hasil kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selain menimbulkan isu berkaitan pematuhan undang-undang dan keselamatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, berdasarkan sumber PBT dan aduan diterima, menara terbabit didapati tidak melalui proses permohonan One Stop Agency (OSA) serta tidak mempunyai kelulusan kebenaran merancang dan permit bangunan yang sah.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan struktur berkenaan sukar dikawal selia PBT selain menimbulkan pelbagai aduan daripada penduduk sekitar.
“Isu keselamatan menjadi perhatian kerana menara yang tidak berdaftar dengan PBT tidak mempunyai rekod insurans yang masih aktif dan mengundang pelbagai persepsi kalangan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bengkel Prosedur Penguatkuasaan Bagi Menara-Menara Telekomunikasi Tidak Berdaftar di Negeri Kedah Darul Aman bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.
Mohd Azam berkata, berdasarkan penelitian One Stop Agency, State Secretary Kedah (Incorporation), sekiranya menara tidak berdaftar dikenakan tindakan undang-undang melalui aktiviti perobohan, potensi hasil yang boleh dijana melalui tapak gantian baharu kepada PBT dianggarkan sebanyak RM4.17 juta termasuk cagaran.
Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara teratur dan tidak boleh dibuat hanya berdasarkan kewujudan fizikal sesuatu menara.
Katanya, setiap kes perlu diteliti berdasarkan status kelulusan pembangunan, kelulusan pelan bangunan atau struktur, status tanah dan pemilikan, rekod pendaftaran PBT, keselamatan serta kestabilan struktur dan pematuhan syarat teknikal.
“Menara telekomunikasi tidak berdaftar tidak semestinya bermaksud semua menara tersebut adalah haram secara automatik. Ia boleh merangkumi pelbagai keadaan seperti tiada rekod dalam sistem PBT, pemilik atau operator tidak dapat dikenal pasti, kelulusan tidak lengkap atau status kelulusan tidak dapat disahkan.
“Oleh itu, tindakan penguatkuasaan hendaklah dilaksanakan melalui proses pengesahan dan dokumentasi yang teratur,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan isu menara telekomunikasi tidak boleh diselesaikan oleh satu jabatan sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama dan penyelarasan antara PBT, Kerajaan Negeri, agensi teknikal, pemilik tanah, syarikat telekomunikasi dan penyedia infrastruktur.
Sehubungan itu, Mohd Azam mencadangkan satu mekanisme penyelarasan yang jelas bagi memastikan maklumat berkaitan menara dapat dikongsi antara agensi terlibat.
Post a Comment