BERI PELUANG ANAK TERUSKAN PENDIDIKAN – SANUSI
Nur Akasyah Sabri
SIK – Kepentingan pendidikan perlu diutamakan dalam melahirkan generasi yang lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan sekali gus menjadi jalan untuk mengubah nasib keluarga.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ibu bapa perlu terus memberi peluang dan dorongan kepada anak-anak untuk mendapatkan pendidikan hingga ke peringkat pengajian tinggi, walaupun berdepan pelbagai kesukaran.
“Berilah peluang anak-anak mengaji. Kalau tak mau mengaji, paksa. Sabarlah, teruslah beri peluang kepada anak pergi mengaji, pergi sekolah sampai habis, masuk universiti. Letih tara mana pun akan ada kepuasan,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Program Hari Komuniti Kampungku Sejahtera DUN Jeneri, di sini.
Tambahnya, Kerajaan Negeri turut menyediakan bantuan bagi membantu anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan melanjutkan pengajian, antaranya melalui Tabung Tunku Mahmud dan Bantuan Awal Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (iBAKIPT), selain bantuan daripada wakil rakyat serta Lembaga Zakat Negeri Kedah.
Sanusi berkata, persediaan pendidikan perlu diperkukuh kerana generasi akan datang bakal berdepan cabaran yang lebih besar.
“Mari kita hadapi bersama. Kerajaan Negeri akan menyediakan ekosistem yang membolehkan semua cabaran ini dihadapi, dibimbing untuk kita hadapi bersama cabaran yang akan datang," katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru golongan berada yang berjaya di luar Kedah supaya tidak melupakan negeri kelahiran, sebaliknya turut menyumbang melalui Tabung Tunku Mahmud bagi membantu lebih ramai anak Kedah melanjutkan pengajian ke universiti, sekali gus membuka peluang kepada mereka mengubah kehidupan melalui pendidikan.
“Kita gagaskan di Kedah ini, negeri tempat orang miskin boleh berteduh, tempat orang kaya menabur bakti,” katanya.
Post a Comment