Header Ads

test

MELAHIRKAN GENERASI BERILMU KUNCI PEMBANGUNAN MASA DEPAN KEDAH

 

Ku Azizah Ku Hamid
SIK – Pembentukan institusi keluarga yang kukuh dan pendidikan anak-anak secara berterusan menjadi asas penting dalam melahirkan generasi berilmu yang mampu menyumbang kepada pembangunan The Greater Kedah serta merebut peluang pekerjaan berkemahiran tinggi pada masa hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, ibu bapa memainkan peranan besar dalam memastikan anak-anak dibesarkan dalam suasana penuh kasih sayang dan mendapat pendidikan yang sempurna bagi membentuk modal insan berkualiti.
Menurut beliau, anak-anak yang sedang membesar hari ini bakal menjadi tenaga kerja yang diperlukan untuk mengisi pelbagai peluang pekerjaan berteknologi tinggi yang diwujudkan hasil kemasukan pelaburan ke negeri ini.
“Anak-anak inilah yang akan memenuhi keperluan pembangunan Kedah pada masa hadapan. Sebagai ibu bapa, kita perlu memastikan mereka terus belajar, mempunyai kekuatan dalaman yang kukuh dan memanfaatkan ilmu untuk masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Hari Komuniti Kampungku Sejahtera DUN Jeneri yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor, di sini.
Siti Ashah juga menekankan kepentingan institusi keluarga yang harmoni dalam membentuk sahsiah anak-anak serta mengelakkan mereka daripada terjebak dengan pelbagai gejala sosial.
Katanya, ibu bapa perlu melaksanakan tanggungjawab bersama dalam mendidik anak-anak dan mengelakkan perselisihan yang boleh menjejaskan kebahagiaan keluarga.
Dalam pada itu, Siti Ashah turut menggalakkan suri rumah mendapatkan perlindungan keselamatan sosial menerusi skim yang ditawarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menjamin kebajikan keluarga sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

Tiada ulasan