Header Ads

test

CADANGAN TANGANI BULI DIKEMUKAKAN KEPADA KPM TIADA RESPONS

 


PENGANALISIS JENAYAH LUAH KEKECEWAAN

Roslinda Hashim

ALOR SETAR - Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim meluahkan kekecewaan apabila beberapa cadangan dan usaha yang dikemukakannya kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Menteri Pendidikan bagi membantu menangani isu buli di sekolah sejak lebih setahun lalu tidak mendapat maklum balas.

Beliau berkata, usaha itu termasuk pertemuan secara bersemuka dengan Setiausaha Politik Menteri Pendidikan (SUPOL) lebih setahun lalu, selain beberapa kali menghubungi KPM dan menghantar mesej secara langsung kepada Menteri Pendidikan berkaitan isu buli.

Menurutnya, dalam pertemuan tersebut, beliau telah mengemukakan beberapa idea dan dimaklumkan akan dihubungi semula bagi perbincangan lanjut, namun penantian selama tiga bulan tidak membuahkan sebarang hasil.

"Saya pernah bercakap depan-depan pada masa itu dengan SUPOL Menteri Pendidikan setahun lebih yang lalu berkenaan isu-isu di sekolah.

"Saya utarakan beberapa idea. Dia kata akan hubungi untuk bincang lebih lanjut. Cukup tiga bulan menunggu tiada khabar berita, saya tinggalkan pesanan di pejabat KPM beberapa kali. Tapi tiada balasan sampai sekarang," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Kamal Affandi berkata, sebelum berlaku kes pelajar maut di Yong Peng, Johor, beliau yang sudah lama menunggu maklum balas KPM mengambil inisiatif sekali lagi menghubungi Menteri Pendidikan menerusi Facebook.

Katanya, tindakan itu bukan kali pertama kerana sebelum ini beliau turut berusaha mendapatkan perhatian KPM berhubung beberapa cadangan berkaitan usaha membanteras buli di sekolah.

"Begitu juga bila timbul isu buli dalam tahun ini. Saya ada baca saranan Ketua Puteri di Facebooknya untuk masyarakat sama-sama ganding bahu banteras buli. Jadi saya komen, 'jom kita bekerjasama/buat sama-sama'. Setakat hari ini, berbulan sudah tapi belum ada respons," katanya.

Beliau bagaimanapun sentiasa bersangka baik dan menganggap kemungkinan mesej berkenaan terlepas pandang atau tidak sampai kepada pihak yang berkaitan.

Kamal Affandi mendakwa kemungkinan terdapat pemegang taruh lain yang tidak mengendahkan usaha berkenaan atau sekadar memberikan janji, disebabkan perbezaan perspektif dan keutamaan.

“Sejujurnya, ada beberapa inisiatif kerajaan dengan ‘footprint' dan 'DNA' saya telah diciplak.

"Tapi saya tak bising 'claim' sebab saya lakukan bukan kerana nama. Saya lakukan kerana saya seorang patriot, demi tanah air dan generasi mendatang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kamal Affandi turut menyampaikan permohonan maaf kepada Allahyarhamah Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, yang ditemukan berlumuran darah di sebuah sekolah di Yong Peng, sebelum disahkan meninggal dunia pada Sabtu.

"Adik Irene Sofiya, maafkan saya kerana saya telah berusaha sebaik mungkin menawarkan diri tetapi sama ada dek terlepas pandang, bertepuk sebelah tangan atau ibarat melukut di tepi gantang, hanya masa akan menentukan.

"Nukilan ini bukan untuk mencari siapa yang salah. Tulisan ini berkenaan apa yang lemah dan mahukan khilaf itu diperbaiki," katanya.

Kamal Affandi turut nekad akan terus membantu mengekang budaya buli terus berleluasa termasuk membantu mangsa buli yang menerima nasib tragis.

“Biar pun tiada lencana, pingat dan kalung disemat di dada, akan berusaha menyelamatkan mereka yang senasib denganmu dengan caraku sendiri, tak akan saya berhenti selagi saya masih bernyawa,” katanya.

Pada Sabtu, negara digemparkan dengan kes bunuh pelajar Tingkatan Empat di sebuah sekolah di Yong Peng, yang ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.

Susulan itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang juga rakan sekelas mangsa direman enam hari bagi membantu siasatan kes berkenaan. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan