Header Ads

test

KPM PERLU REFORMASI SISTEM KESELAMATAN SEKOLAH

 

GERAHAM KEMUKA 10 CADANGAN PERKUKUH KESELAMATAN PELAJAR
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu melakukan reformasi menyeluruh terhadap sistem keselamatan sekolah dengan mengutamakan langkah pencegahan buli dan keganasan sebelum tragedi berlaku.
Pengerusi Gabungan Gerakan Rakyat Hidupkan Amar Maaruf & Hapuskan Aktiviti Maksiat (GERAHAM), Ustaz Noor Hakimi Ab. Halim berkata, isu buli, keganasan dan kematian pelajar dalam premis sekolah tidak lagi boleh dilihat sebagai kejadian terpencil yang diselesaikan melalui kenyataan media, siasatan dalaman atau tindakan disiplin selepas tragedi.
Menurut beliau, apabila ibu bapa mula mempersoalkan sama ada anak mereka benar-benar selamat ketika berada di sekolah atau asrama, ia menjadi persoalan besar terhadap keyakinan masyarakat kepada sistem pendidikan negara.
“Sekolah sepatutnya tempat paling selamat selepas rumah. Ibu bapa menyerahkan anak kepada institusi pendidikan berjam-jam setiap hari, manakala bagi pelajar asrama, tanggungjawab menjaga mereka hampir 24 jam.
“Justeru, keselamatan fizikal dan emosi pelajar mesti dianggap sebagai tanggungjawab teras institusi, bukan perkara sampingan kepada pencapaian akademik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, GERAHAM mengemukakan 10 cadangan kepada KPM bagi memperkukuh sistem keselamatan pelajar di seluruh negara.
“Wujudkan Sistem Amaran Awal Buli dan Keganasan Sekolah yang membolehkan guru kelas, guru disiplin, kaunselor, warden dan pentadbir mempunyai mekanisme mengenal pasti pelajar berisiko menjadi mangsa atau pelaku.
“Perubahan tingkah laku seperti ponteng, takut kembali ke asrama, kecederaan berulang, kehilangan wang, kemurungan, pengasingan sosial dan kemerosotan prestasi perlu dianggap sebagai isyarat awal yang memerlukan tindakan,” katanya.
GERAHAM turut mencadangkan saluran aduan bebas dan sulit untuk pelajar serta ibu bapa tanpa bergantung sepenuhnya kepada keberanian mangsa untuk berhadapan dengan pihak berautoriti.
“Mangsa buli sering takut melapor kes kerana bimbang identiti mereka diketahui, dibalas oleh pembuli atau dianggap membawa masalah kepada sekolah,” katanya.
Menurut Noor Hakimi, cadangan ketiga ialah memastikan setiap laporan buli mempunyai tempoh tindak balas wajib, manakala kes membabitkan kecederaan, ugutan, pemerasan, serangan seksual, senjata atau ancaman nyawa perlu segera dieskalasi kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), KPM serta polis jika mempunyai unsur jenayah.
“Cadangan seterusnya, melaksanakan audit keselamatan asrama secara berkala dan mengejut, termasuk mengenal pasti kawasan berisiko seperti dormitori, tandas, tangga, koridor, bilik utiliti dan kawasan tersorok.
“Penyeliaan manusia mesti diperkukuhkan terutama pada waktu malam, selepas prep, ketika pertukaran syif dan tempoh apabila pengawasan dewasa berkurangan,” katanya.
GERAHAM turut sarankan fungsi warden dinilai semula, termasuk mengkaji nisbah warden dengan jumlah pelajar serta memperluaskan penempatan warden sepenuh masa atau pegawai kebajikan asrama di institusi yang mempunyai jumlah penghuni besar.
“Seorang guru yang mengajar sepanjang hari tidak seharusnya dibebankan dengan tanggungjawab menjaga sejumlah besar pelajar asrama tanpa sumber, latihan dan sokongan mencukupi,” ujarnya.
NGO itu juga mencadangkan penubuhan Pasukan Siasatan Bebas Keselamatan Pelajar bagi kes kematian, kecederaan parah atau dakwaan keganasan serius.
“Siasatan bebas penting bagi meningkatkan keyakinan ibu bapa bahawa tiada kes disembunyikan kerana sekolah tidak sepatutnya menjadi satu-satunya pihak yang mengurus aduan, menyiasat kejadian dan pada masa sama mempertahankan reputasi institusi,” ujarnya.
Noor Hakimi berkata, GERAHAM juga mencadangkan setiap kes kematian pelajar dalam premis pendidikan perlu melalui semakan insiden kritikal bagi mengenal pasti kelemahan pengawasan, kewujudan aduan terdahulu dan perubahan sistem yang perlu dilakukan bagi mengelakkan kejadian berulang.
Selain itu, katanya, budaya senioriti melampau dan sebarang bentuk ‘ragging’ perlu ditangani secara serius, dan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengugut, memukul, memalukan atau mendera pelajar lebih muda.
“Orientasi, latihan kepimpinan pelajar dan sistem mentor perlu dibentuk berasaskan perlindungan, bukannya dominasi,” katanya.
Tambah beliau lagi, pendidikan mengenai buli perlu diperluaskan melangkaui poster dan ceramah tahunan.
“Pelajar perlu diajar mengenali buli fizikal, verbal, psikologi, seksual, pemerasan dan buli siber, termasuk bagaimana menjadi saksi yang berani melapor. Guru dan warden perlu dilatih mengenali tanda trauma serta kaedah mengendalikan pendedahan mangsa,” katanya.
Cadangan terakhir, KPM wajar menerbitkan laporan keselamatan sekolah secara berkala, mengandungi statistik kes buli, kecederaan serius, kematian, tindakan disiplin serta langkah pembetulan secara agregat tanpa dedahkan identiti mangsa.
“Data telus membolehkan kerajaan, ibu bapa dan masyarakat mengetahui sama ada keadaan semakin baik atau sebaliknya,” katanya.
Noor Hakimi tegaskan, penyelesaian buli tidak seharusnya hanya tertumpu kepada hukuman kerana pelaku juga perlu dinilai dari aspek keluarga, psikologi, persekitaran dan tingkah laku.
“Bagi kes ringan, intervensi pemulihan mungkin sesuai. Bagi keganasan serius atau perbuatan unsur jenayah, tindakan tegas mesti dilaksanakan tanpa kompromi, tanpa budaya menutup kes demi menjaga nama sekolah,” katanya.
GERAHAM turut menyarankan penubuhan Majlis Keselamatan Pelajar Kebangsaan melibatkan KPM, Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pakar psikologi, pakar perlindungan kanak-kanak, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Isu keselamatan pelajar terlalu kompleks untuk diletakkan di bahu guru semata-mata.
“Menteri Pendidikan wajar menetapkan satu petunjuk prestasi utama (KPI), berapa banyak kes, berapa cepat aduan ditangani, berapa banyak sekolah berisiko diaudit dan apakah tindakan pembetulan dilakukan.
“Ukuran kejayaan tidak boleh sekadar jumlah kempen atau program dianjurkan,” jelasnya.
Tambah beliau, keselamatan pelajar harus menjadi agenda reformasi pendidikan secara menyeluruh.
“Jangan tunggu satu lagi tragedi sebelum sistem diperbaiki. Ibu bapa hantar anak ke sekolah untuk belajar dan membina masa depan, bukan untuk pulang dalam ketakutan, kecederaan atau tidak pulang langsung.
“Apabila melibatkan keselamatan dan nyawa pelajar, kerajaan tidak boleh berpuas hati dengan pendekatan biasa lagi,” katanya.
Dalam kejadian pada Sabtu, Allahyarhamah Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor sebelum disahkan meninggal dunia.
Susulan itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang juga rakan sekelas mangsa direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Tiada ulasan