Header Ads

test

PELABURAN DILULUSKAN KEDAH MELONJAK 456 PERATUS, PACU AGENDA THE GREATER KEDAH

 

Roslinda Hashim
KUALA LUMPUR - Kedah mencatatkan peningkatan sebanyak 456 peratus dalam jumlah pelaburan diluluskan tahunan pada 2025 berbanding 2020, dengan merekodkan RM27.8 bilion dan menawarkan 14,705 peluang pekerjaan kepada rakyat.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pencapaian itu membuktikan Kedah bukan sahaja mengekalkan identitinya sebagai Jelapang Padi Malaysia, malah semakin berdaya saing sebagai destinasi pelaburan dalam sektor pembuatan bernilai tinggi dan industri berteknologi maju.
Menurutnya, daripada jumlah pelaburan diluluskan itu, kira-kira RM24.6 bilion disumbangkan sektor pembuatan, yang merupakan peningkatan luar biasa sebanyak 500 peratus dalam pelaburan diluluskan pada 2025.
“Angka daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) ini menunjukkan lebih 61,000 potensi pekerjaan berkaitan kelulusan pelaburan antara 2020 hingga 2025.
“Lebih penting, Kedah menduduki tempat pertama dalam kalangan negeri di Malaysia bagi pelaburan pembuatan yang diluluskan selama dua tahun berturut-turut, iaitu 2024 dan 2025.
“Bagi sebuah negeri dikenali sebagai Jelapang Padi Malaysia, pencapaian ini menggambarkan transformasi ketara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada SG4 Business & Economic Forum 2026 bertemakan ‘Four States, One Economic Vision’, di sini, hari ini.
Sanusi berkata, agenda pembangunan ekonomi negeri tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah pelaburan atau projek semata-mata, sebaliknya sejauh mana kemajuan itu meningkatkan kualiti hidup rakyat, menyediakan pekerjaan berkualiti dan memperkukuh pendapatan keluarga.
Menurutnya, kerangka The Greater Kedah berteraskan Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan Pelan Tindakan KEDAH2035 dirangka bagi meletakkan negeri itu sebagai sebuah ekonomi progresif, berkeupayaan dan berdaya saing di peringkat global.
Beliau memaklumkan, ekonomi Kedah mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM56.3 bilion pada 2025, meningkat 4.1 peratus berbanding RM54.1 bilion pada tahun 2024, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia.
Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar dengan nilai RM31.5 bilion atau 56 peratus daripada KDNK negeri, merangkumi perniagaan borong dan runcit, perkhidmatan penginapan dan makanan, pengangkutan dan logistik, maklumat dan komunikasi, kewangan, perkhidmatan profesional serta perkhidmatan awam.
Sektor pembuatan pula menyumbang RM16.9 bilion atau 30.1 peratus, berkembang lima peratus pada 2025.
“Lebih separuh daripada nilai tambah sektor pembuatan disumbangkan industri elektrik, elektronik dan optik, sekali gus mengukuhkan kedudukan Kedah dalam rantaian bekalan industri berteknologi tinggi.
“Sektor pertanian menyumbang RM5.9 bilion atau 10.5 peratus kepada ekonomi negeri dan perlu terus diperkasakan bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan petani, penternak, nelayan serta usahawan muda.
“Ini termasuk membantu syarikat kecil menerima pakai teknologi, memperluas akses pasaran kepada perniagaan luar bandar dan meningkatkan nilai tambah hasil pertanian, selain memanfaatkan sektor pelancongan, hospitaliti serta perusahaan tempatan,” katanya.
Tambah beliau, sektor pembinaan menyumbang sekitar RM1.4 bilion, serta perlombongan dan pengkuarian berskala lebih kecil turut menyumbang kepada aktiviti ekonomi.
“Penerokaan unsur nadir bumi (REE) berpotensi menjadi sumber pertumbuhan ekonomi baharu Kedah, namun usaha itu tidak seharusnya terhad kepada aktiviti pengekstrakan dan penjualan bahan mentah.
“Kedah perlu bangunkan keseluruhan rantaian nilai REE, daripada pengesahan sumber mineral dan pengekstrakan terkawal hingga pemprosesan, bagi memastikan Kedah memperoleh pulangan ekonomi yang munasabah,” katanya.
Tegas Sanusi, transformasi ekonomi yang sedang diusahakan mencakupi pertumbuhan menyeluruh merentas industri, daerah dan komuniti.

Tiada ulasan