HENTIKAN CERITA NEGATIF, JANGAN ‘BUNUH’ PELANCONGAN LANGKAWI
LANGKAWI SUMBANG RM7 BILION SETAHUN
Roslinda Hashim
LANGKAWI - Penyebaran cerita negatif dan maklumat tidak tepat mengenai Langkawi perlu dihentikan kerana boleh menjejaskan industri pelancongan yang menjadi sumber rezeki hampir 90 peratus penduduk pulau itu.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Langkawi bukan sahaja menjadi destinasi pelancongan yang menawarkan ketenangan dan keindahan alam, malah menyumbang pendapatan besar kepada negara menerusi sektor berkenaan.
Menurutnya, pulau peranginan itu dianggarkan menyumbang antara RM4 bilion hingga RM7 bilion setahun kepada pendapatan sektor pelancongan negara, sekali gus menjadikan pemeliharaan imej Langkawi tanggungjawab semua pihak.
“Kenapa hanya memburukkan Langkawi? Pulau ini sebenarnya indah. Datang dan lihat sendiri sebelum membuat rumusan. Cakaplah perkara yang baik dan rasai keunikan Langkawi.
“Ramai orang cakap benda negatif tentang Langkawi untuk beri gambaran tidak elok. Berhentilah buat cerita tidak elok itu. Kita perlu jaga pulau ini sebaik-baiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Kempen Langkawi CARE di sini, hari ini.
Sanusi berkata, tanggapan bahawa kemasukan pelancong ke Langkawi tidak sehebat Phuket, Thailand, perlu dilihat dalam konteks jumlah pelancong yang mengunjungi Malaysia secara keseluruhan.
Katanya, kempen positif mengenai Langkawi bukan sahaja mampu meningkatkan kunjungan ke pulau itu, malah turut membantu menarik pelancong ke Malaysia.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak hanya menumpukan kelemahan atau perkara negatif mengenai Langkawi sehingga menimbulkan persepsi buruk kalangan pelancong.
Sanusi turut menjelaskan, perbezaan harga barangan di Langkawi berbanding destinasi lain perlu dinilai berdasarkan kedudukan pulau itu yang bergantung kepada bekalan dari luar.
“Ada mengadu tentang harga. Lagkawi adalah pulau, jadi ada kos pengangkutan untuk bawa masuk bahan mentah. Semua bahan mentah perlu dibawa dari luar pulau dan sudah tentu ada kosnya. Bukan makanan sahaja, bahan pembinaan juga lebih mahal kerana perlu dibawa menggunakan kapal.
“Jadi berhentilah buat cerita tak elok pasal Langkawi,” katanya.
Dalam ucapannya sebelum itu, Sanusi berkata, penyebaran khabar angin dan maklumat tidak tepat perlu ditangani segera bagi mengelakkan keyakinan pelancong terjejas sehingga memberi kesan kepada pengusaha hotel, pengendali bot, pemandu pelancong dan peniaga tempatan.
Beliau berkata, cerita tidak benar yang dikongsi berulang kali boleh menimbulkan keraguan orang ramai, seterusnya menjejaskan kemasukan pelancong.
“Setiap dakwaan tidak berasas itu perlu dijawab menggunakan fakta yang tepat dan jelas melalui pendekatan yang cekap serta pantas agar tidak berlarutan sehingga dipercayai masyarakat.
“Cerita yang tidak tepat tentang Langkawi boleh jejaskan keyakinan pelancong. Akhirnya, yang menerima kesan ialah masyarakat kita sendiri yang mencari rezeki melalui industri ini,” katanya.
Menurut Sanusi, semua pihak perlu bertanggungjawab memelihara imej Langkawi dan tidak mengambil sikap lewa menangani isu yang boleh mencemarkan imej kerana ia berisiko menyebabkan pelancong membuat tanggapan salah dan tidak lagi memilih pulau itu sebagai destinasi percutian.
“Sama-samalah kita jaga sumber rezeki yang ada di pulau Permata Kedah ini dengan penuh bertanggungjawab,” katanya.
Sanusi juga mohon agar setiap aduan yang dikemukakan orang ramai diteliti secara adil, manakala dakwaan tidak benar hendaklah diperbetulkan menggunakan fakta sahih.
“Jika sesuatu aduan itu berasas, ia mesti diberikan perhatian. Yang tidak benar kita perbetulkan, kelemahan yang ada kita baiki. Dengan cara ini, keyakinan terhadap Langkawi dapat dibina dan dipertahankan,” katanya.
Beliau turut mengajak agensi berkaitan, pemain industri, pengamal media dan pencipta kandungan media sosial bekerjasama menyebarkan maklumat tepat serta mengetengahkan pengalaman sebenar mengenai Langkawi bagi memastikan orang ramai mendapat gambaran tepat tentang destinasi pelancongan itu.
“Insya Allah dengan niat baik, hasrat yang baik dan tindakan yang membawa ke arah kebaikan semua pihak, kita semua beroleh keberkatan dunia dan akhirat,” katanya.
Post a Comment