Header Ads

test

LANGKAWI CARE PERKUKUH REPUTASI PULAU PERMATA KEDAH

 

Roslinda Hashim
LANGKAWI - Kerajaan Negeri melancarkan Langkawi CARE bagi memperkukuh reputasi Langkawi sebagai destinasi pelancongan yang mesra, bersih, selamat dan dipercayai, sekali gus memastikan pulau peranginan itu terus menjadi pilihan pelancong tempatan serta antarabangsa.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kempen itu memerlukan komitmen semua pihak termasuk agensi kerajaan, pengusaha pelancongan, pemimpin komuniti dan masyarakat setempat bagi mengekalkan keunikan serta daya tarikan Langkawi.
Beliau berkata, kempen berkenaan digagaskan di bawah Jawatankuasa Tindakan Pelancongan Langkawi yang dipengerusikan oleh Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin.
“Kita mahu tunjukkan kesungguhan untuk menjadikan Langkawi pulau yang mesti dilawati pelancong tempatan dan luar negara. Saya harap kempen ini dapat merebak ke seluruh negara.
“Kita mahu semua pihak mengambil tanggungjawab masing-masing untuk mengekalkan dan meningkatkan reputasi Langkawi sebagai pulau pelancongan yang menenangkan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Langkawi CARE di sini, hari ini.
Sanusi berkata, usaha memperkukuh sektor pelancongan memerlukan komitmen bersama untuk memelihara keunikan alam semula jadi serta daya tarikan pulau itu berikutan pelbagai acara berskala besar dan program tahunan diadakan di Langkawi.
“Apabila banyak acara dianjurkan, ia turut berpotensi menjana pendapatan kepada penduduk, negeri dan negara,” katanya.
Beliau turut berharap Langkawi CARE dapat dijadikan platform untuk menyebarkan pelbagai maklumat, mengumpul data dan berkongsi pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Individu yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman mengenai alam semula jadi perlu berkongsi maklumat bagi membantu pelancong serta orang ramai mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Saya juga ingin mengingatkan pelancong supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika menikmati aktiviti percutian, khususnya di laut yang mempunyai risiko seperti sengatan obor-obor. Jadi inisiatif ini boleh dijadikan panduan,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Sanusi berkata, keindahan alam, pantai, gugusan pulau dan warisan Langkawi sememangnya menjadi tarikan pelancong, namun kelebihan itu perlu disokong dengan perkhidmatan berkualiti serta pengalaman percutian yang memuaskan.
“Pelancong dari dalam dan luar negara sentiasa mengharapkan layanan mesra, persekitaran bersih, keselamatan terjamin dan pengalaman berbaloi dengan wang yang dibelanjakan. Sebab itu, Langkawi CARE perlu menjadi amalan kita bersama,” katanya.
Tambah beliau, Langkawi CARE berteraskan lima elemen utama, iaitu ‘Care for Value’, ‘Care for Hospitality’, ‘Care for Cleanliness’, ‘Care for Safety’ dan ‘Care for Visitor Voice’ yang menekankan nilai berbaloi, layanan mesra, kebersihan, keselamatan serta kesediaan mendengar suara pelancong.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengusaha pelancongan supaya menyediakan perkhidmatan terbaik dengan maklumat harga yang jelas, manakala agensi berkaitan perlu memudahkan urusan serta mengambil tindakan terhadap aduan.
Masyarakat setempat juga diseru memainkan peranan dengan menjaga kebersihan dan menyambut pelancong secara mesra.
“Nama baik Langkawi amanah bersama. Apabila reputasinya terpelihara, manfaatnya kembali kepada rakyat dan generasi akan datang.
“Setiap daripada kita mempunyai peranan. Sapaan yang baik, bantuan kepada pelancong yang memerlukan, premis bersih dan urusan yang jujur mungkin nampak kecil, tetapi inilah yang membentuk pengalaman mereka. Kita mahu pelancong pulang dengan rasa puas hati, berkongsi cerita yang baik dan berhasrat untuk datang semula,” katanya.

Tiada ulasan