Header Ads

test

NILAI SEMULA PAKEJ KESELAMATAN SEKOLAH, JANGAN TUNGGU TRAGEDI BERULANG - PIBKS

 



Roslinda Hashim

ALOR SETAR - Pakej keselamatan di sekolah perlu dinilai semula dan diperkasakan secara menyeluruh termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), kawalan keluar masuk serta pencahayaan mencukupi bagi memastikan keselamatan murid sentiasa terjamin.

Timbalan Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Kebangsaan, Zainol Abidin Mohamad berkata, aspek keselamatan terutama di lokasi strategik dan kawasan berisiko perlu diberi perhatian serius susulan tragedi yang menimpa seorang pelajar Tingkatan Empat di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor, pada Sabtu.

Menurut beliau, pemantauan tidak seharusnya terhad ketika sesi persekolahan berlangsung, sebaliknya perlu diperluaskan pada sesi petang dan selepas waktu persekolahan.

“Sudah tiba masanya pakej keselamatan sekolah dinilai dan diperkasakan secara menyeluruh.

“Pemantauan pada sesi petang dan selepas waktu persekolahan juga perlu diberi perhatian serius, terutama apabila jumlah guru dan warga sekolah semakin berkurangan tetapi masih terdapat pelajar di kawasan sekolah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainol Abidin yang juga Pengerusi PIBKS Kedah berkata, pada masa sama, fungsi dan skop tugas pengawal keselamatan sekolah perlu diperkemaskan.

“Tugas mereka perlu diperluaskan, bukan sekadar menjaga pintu pagar, tetapi membantu memantau pergerakan keluar masuk serta kawasan yang dikenal pasti berisiko,” katanya.

Tambah beliau, pihak berwajib juga perlu segera menjalankan audit keselamatan di semua sekolah bagi mengenal pasti kelemahan serta menyediakan peruntukan sewajarnya untuk melaksanakan penambahbaikan.

“Jangan tunggu seorang lagi anak menjadi mangsa sebelum kita bertindak. Keselamatan anak-anak mesti menjadi keutamaan kita bersama,” katanya.

Beliau berkata, tragedi yang menimpa Allahyarhamah Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, amat menyayat hati kerana kejadian itu berlaku di sekolah yang sepatutnya menjadi antara tempat paling selamat untuk anak-anak.

Dalam kejadian terbaharu itu, Irene Sofiya ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah di Yong Peng sebelum disahkan meninggal dunia.

Susulan itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang juga rakan sekelas mangsa direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 7 malam di sekitar Yong Peng, kira-kira sejam selepas polis menerima maklumat berhubung kejadian daripada orang awam pada 5.50 petang.

Tiada ulasan