LALUAN MOTOSIKAL DI PLAZA TOL ALOR SETAR UTARA, SELATAN DITAMBAH BAIK
Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR – Pemasangan bebendul jalan dan tiang fleksibel bagi laluan khusus pengguna motosikal di Plaza Tol Alor Setar Utara dan Plaza Tol Alor Setar Selatan telah siap dilaksanakan.
Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, kemudahan itu dilaksanakan oleh pihak Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Malaysia, baru-baru ini.
“Sebelum ini pada Mac lalu, saya telah memanjangkan aduan rakyat yang diterima melalui media sosial berkaitan kebimbangan dan risiko keselamatan pengguna motosikal dalam pertemuan bersama PLUS Malaysia di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Alor Setar.
“Pada Julai, pihak PLUS telah menyiapkan sepenuhnya laluan motosikal yang sangat teratur dan sekali gus mengurangkan risiko kemalangan kepada pengguna motosikal,” katanya.
Jelasnya, berdasarkan aduan diterima, selepas melalui plaza tol, pengguna motosikal terpaksa memotong masuk ke laluan kenderaan berat disebabkan tiada laluan khusus di susur keluar.
Menurutnya, keadaan itu turut meningkatkan risiko kemalangan berikutan terdapat kenderaan berat yang berhenti di bahu jalan.
Tambahnya, dalam pertemuan bersama PLUS Malaysia itu, turut dibincangkan beberapa isu keselamatan dan kesesakan jalan raya melibatkan agensi lain seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) yang bakal dikemukakan dalam sesi Sidang Dewan Rakyat.
“Kita ucapkan ribuan terima kasih kepada PLUS atas keprihatinan membina laluan fasiliti yang begitu efektif.
“Mudah-mudahan selepas ini, banyak lagi penambahbaikan dilakukan oleh PLUS berdasarkan aduan rakyat, yang mana mereka bersedia mendengar serta menambah baik kualiti perkhidmatan,” katanya.

Post a Comment