WAJAH BAHARU TERMINAL SHAHAB PERDANA LEBIH MODEN, SELESA
95 PERATUS SIAP DINAIK TARAF
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Projek menaik taraf Terminal Shahab Perdana (TSP) yang menelan kos RM12 juta kini mencapai kemajuan 95 peratus dan dijangka siap sepenuhnya akhir bulan ini.
Ia sekali gus menampilkan wajah baharu TSP serta kemudahan yang lebih selesa kepada pengguna pengangkutan awam di bandar raya ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan, Dzowahir Ab Ghani berkata, kerja menaik taraf itu merupakan antara usaha Kerajaan Negeri untuk memperkasakan kemudahan awam yang telah lama digunakan masyarakat setempat.
“Terminal Shahab Perdana ini sudah hampir 30 tahun tidak mengalami perubahan, jadi kemudahan sedia ada agak uzur dan perlu dinaik taraf bagi memberikan keselesaan yang lebih baik kepada pengguna.
“Projek fasa dua ini berjalan dengan baik dan kini sudah mencapai 95 peratus. Kita jangka ia dapat disiapkan dalam masa terdekat,” katanya ketika melakukan lawatan tapak bagi meninjau kemajuan projek naik taraf TSP, di sini.
Hadir sama, Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Abdul Gafar Yahya.
Menurut Dzowahir yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti, projek transformasi TSP itu memberi tumpuan kepada aspek pendigitalan operasi terminal menerusi penggunaan Centralised Ticketing System (CTS) dan Terminal Operation System (TOS) bagi menyelaras operasi serta aliran penumpang.
“Melalui sistem berkenaan, pengguna boleh membuat pembelian tiket menerusi kaunter, kiosk digital, laman sesawang dan aplikasi mudah alih, selain mewujudkan aliran penumpang yang lebih teratur.
“Transformasi itu turut menitikberatkan keselesaan penumpang menerusi ruang menunggu berhawa dingin serta penyediaan kerusi yang mencukupi untuk penumpang sebelum berlepas,” katanya.
Tambah beliau, dari segi penggunaan, TSP merekodkan lebih 22,000 perjalanan bas ekspres dengan jumlah melebihi 260,000 penumpang sepanjang Jun hingga Disember 2025.
“Bagi tempoh Januari hingga September tahun ini pula, lebih 25,000 perjalanan bas ekspres direkodkan, membabitkan lebih 300,000 penumpang,” ujarnya.
Dzowahir berkata, transformasi TSP bukan sekadar menjadikannya sebuah terminal pengangkutan, sebaliknya menyasarkan pembangunan sebuah hab mobiliti yang turut berfungsi sebagai ruang awam untuk masyarakat singgah, bertemu dan menikmati suasana bandar selain mengenali identiti Kedah.
Sementara itu, Abdul Gafar memaklumkan, usaha menaik taraf kemudahan awam bukan sahaja meliputi stesen bas, ia turut melibatkan pasar awam, medan selera, ruang niaga serta sistem perparitan dan saliran bagi memastikan infrastruktur bandar terus memenuhi keperluan semasa.
“Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) sentiasa terbuka untuk menerima pandangan dan cadangan warga bandar raya berkaitan usaha menambah baik kemudahan awam di negeri ini.
“Orang ramai boleh menyalurkan pandangan menerusi saluran media sosial rasmi MBAS supaya setiap cadangan dapat diberikan perhatian melalui saluran yang betul,” katanya.
Post a Comment